Pesawat latihan alami masalah enjin mendarat cemas

Pesawat latihan alami masalah enjin mendarat cemas

PESAWAT latihan yang melakukan pendaratan cemas akibat masalah enjin di Padang B, Stadium Langkawi di Kuah, Langkawi. - IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sebuah pesawat latihan melakukan pendaratan cemas di Padang B, Stadium Langkawi di Kuah, hari ini selepas dipercayai mengalami masalah enjin ketika menjalani latihan penerbangan.

Dalam kejadian pada pukul 10.27 pagi, pesawat jenis Diamond 40 TDI dengan nombor pendaftaran 9M-HMJ itu berjaya didaratkan dengan selamat oleh juruterbang bersama seorang kadet penerbangan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada penyelia menara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAB) pada pukul 11.07 pagi.

“Susulan maklumat diterima, sepasukan anggota MPV telah diarahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati penerbangan latihan pertama pesawat itu berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 9.30 pagi sebelum memulakan penerbangan kedua pada pukul 9.40 pagi di sekitar ruang udara Pulau Langkawi,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, ketika berada di ruang udara Kuah sekitar pukul 10.20 pagi, kapten pesawat menyedari terdapat masalah kuasa pada enjin pesawat tersebut.

“Kapten kemudian segera memaklumkan kepada pihak menara kawalan sebelum mencari lokasi selamat untuk melakukan pendaratan kecemasan.

“Pesawat itu berjaya didaratkan di padang berkenaan dan pemeriksaan awal mendapati roda hadapan pesawat patah ketika proses pendaratan dilakukan,” ujarnya.

Tambah beliau, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan fizikal dilaporkan melibatkan kedua-dua juruterbang termasuk seorang kadet wanita.

Katanya, pasukan siasatan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) turut hadir ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN