Langkawi kekal strategik, kawalan sempadan perlu diperkukuh - Saifuddin

Langkawi kekal strategik, kawalan sempadan perlu diperkukuh – Saifuddin

SAIFUDDIN Nasution Ismail turut melakukan tinjauan udara sebelum mengadakan lawatan ke Pos PGA Teluk Ewa dan Pelabuhan Telaga Harbour di Pantai Kok, Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pulau Langkawi terus memainkan peranan penting sebagai pintu hadapan negara di sempadan Malaysia–Thailand dengan kelebihan geografi maritim yang terbuka serta pergerakan antarabangsa yang aktif melalui pelabuhan dan jeti.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kedudukan strategik itu menjadikan Langkawi sebagai antara kawasan yang perlu diberi perhatian khusus dari sudut keselamatan dan kawalan sempadan.

Menurut beliau, walaupun Langkawi kekal sebagai kawasan bebas cukai, langkah rasionalisasi yang dilaksanakan sejak 2021 telah mengurangkan kelebihan harga bagi barangan tertentu.

“Bagaimanapun, perbezaan harga yang masih wujud berbanding tanah besar dan negara jiran terus membuka ruang kepada risiko penyalahgunaan serta aktiviti penyeludupan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pelabuhan Telaga Harbour di Pantai Kok dan Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Teluk Ewa di sini, hari ini.

Beliau berkata, aktiviti tersebut lazimnya berlaku dalam skala kecil tetapi kerap, sekali gus memerlukan tindakan pemantauan yang lebih berkesan.

“Keadaan ini menuntut pengukuhan kawalan dan pemantauan secara bersepadu oleh semua agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan serta kepentingan negara terus terpelihara,” katanya.

Saifuddin menjelaskan, kehadirannya ke Pos PGA Teluk Ewa yang dipindahkan ke lokasi itu sejak Januari lalu bagi melakukan tinjauan sendiri terhadap tahap keselamatan di kawasan strategik negara yang turut memiliki kepentingan ekonomi.

“Kita kenal pasti kawasan yang berpotensi menjadi laluan penyeludupan, pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI), pelarian serta sebarang elemen yang kita klasifikasikan sebagai sasaran curiga,” katanya.

Menurut beliau, sebagai langkah memperkukuh kawalan, kerajaan telah menempatkan pelbagai aset termasuk sistem radar pengesanan yang berfungsi sebagai ‘mata dan telinga’ dalam memantau perairan negara.

“Data yang dikumpul melalui radar akan diproses di bilik gerakan. Jika terdapat corak pergerakan mencurigakan, kita boleh membuat unjuran awal sebelum mengesahkan ancaman tersebut dan menggerakkan aset penguatkuasaan dengan segera sebaik sahaja dikenal pasti sebagai ancaman sebenar.

“Pendekatan ini memastikan tahap keselamatan sentiasa terkawal dan secara tidak langsung menyokong usaha menjadikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan yang selamat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya tidak menerima apa-apa maklumat risikan berhubung kemungkinan terdapat pelayaran kapal Rohingya lain ke negara ini susulan kejadian karam di Laut Andaman, baru-baru ini.

Saifuddin berkata, selain mempunyai radar serta bilik gerakan yang canggih, Malaysia turut dibantu maklumat perisikan dan kerjasama negara jiran yang akan menyalurkan data sekiranya terdapat sesuatu yang mencurigakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN