Jadual feri Langkawi dikurangkan atasi kenaikan kos operasi

Jadual feri Langkawi dikurangkan atasi kenaikan kos operasi

PERKHIDMATAN feri penumpang Langkawi masih dicatu kepada tiga trip sehari bagi laluan dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis sejak 25 Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pengusaha per­khidmatan feri penumpang di Langkawi terpaksa mencatu perjalanan bagi menangani kenaikan kos operasi.

Pengurus Besar Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. (Ferry Line), Dr. Baharin Baharom berkata, tindakan itu bagi memastikan perkhidmatan feri dalam diteruskan dan menjamin kebajikan ratusan pekerja yang bergantung kepada sektor berkenaan sebagai sumber pendapatan.

Kata beliau, pihaknya me­nyam­but baik usaha kerajaan mem­perkenal mekanisme surcaj bahan bakar bunker sebagai langkah mitigasi susulan pe­ning­katan kos operasi sektor feri.

“Namun, langkah ini bersifat sementara dan hanya menyumbang sebahagian kecil kepada kos sebenar yang ditanggung pengusaha.

“Jadi, kami meminta semua pihak memahami bahawa langkah-langkah yang diambil oleh pengusaha feri adalah bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan kepada rakyat, pelancong serta kesinambungan ekonomi Langkawi secara kese­luruhan,” katanya dalam kenya­taan kepada Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia kelmarin, melaporkan penduduk Langkawi dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa pengusaha feri menyambung semula perkhidmatan feri ke pulau lagenda itu selepas catuan perjalanan dilaksanakan sejak 25 Mac lalu.

Mereka mendakwa, tindakan itu telah menjejaskan keh­du­pan harian penduduk dan indus­tri pelancongan di Langkawi.

Baharin berkata, meskipun bersifat sementara, inisaitif itu dapat memperlahankan kadar pengucupan modal pusingan yang dihadapi oleh pengusaha feri.

“Pengusaha beroperasi de­ngan kadar tambang di bawah paras sebenar kos oeprasi sejak sekian lama, terutama dalam keadaan kenaikan harga diesel global yang semakin meningkat.

“Pengusaha amat memahami, kenaikan tambang yang tidak munasabah kepada pelancong berpotensi menjejaskan industri pelancongan Langkawi yang menjadi nadi ekonomi pulau ini,” katanya.

Justeru kata beliau, Ferry Line berpandangan pendekatan terbaik adalah melalui kerjasama erat antara kerajaan dan pengusaha industri dalam mencari penyelesaian yang seimbang dan mampan.

“Kami ingin menegaskan bahawa situasi ini tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam keadaan yang mencabar ini dan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.

“Tindakan sedemikian tidak membantu malah boleh menjejaskan keyakinan terhadap industri dan usaha pemulihan yang sedang dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN