KUALA LUMPUR: Kursus Kecerdasan Buatan (AI), Keselamatan Dalam Talian dan Etika Pelaporan Media anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) memperkukuh kemahiran pengamal media dalam menghadapi cabaran era digital.
Pengarah IPPTAR, Datuk Roslan Ariffin berkata, kursus selama dua hari bermula 4 hingga 5 Mei itu bukan sekadar latihan biasa, sebaliknya menjadi langkah penting dalam memacu transformasi digital sektor media.
Menurut beliau, perkembangan teknologi khususnya AI kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan yang perlu dikuasai oleh pengamal media.
“Kehadiran AI bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. Namun dalam masa sama, aspek integriti dan keselamatan tidak boleh diketepikan.
“Kursus ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai aplikasi AI dalam industri media selain meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan digital dan etika pelaporan,” katanya pada Majlis Penutup Kursus berkenaan di Dewan Dinamik, Bangunan Teknologi IPPTAR di sini, hari ini.
Katanya, seramai 27 pengamal media daripada pelbagai agensi telah menyertai kursus intensif tersebut.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, program seperti itu penting bagi memastikan pengamal media terus relevan dalam landskap media yang semakin mencabar.
“Pengamal media perlu membawa pulang ilmu, kemahiran dan perspektif baharu supaya dapat terus menyumbang kepada industri media,” katanya.
Tambahnya, kerajaan komited menyokong pembangunan industri media termasuk memperkukuh kemahiran melalui latihan berkaitan teknologi baharu.
“Kerajaan akan terus menyokong usaha memperkasa pengamal media agar mereka kekal berdaya saing dalam era digital,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan literasi digital dalam kalangan masyarakat bagi membendung penularan berita palsu yang semakin dipengaruhi teknologi AI.
“Usaha mendidik masyarakat supaya membuat semakan fakta sebelum berkongsi maklumat perlu diperkukuh bagi memastikan ekosistem media lebih bertanggungjawab dan dipercayai.
“Kita tidak boleh menghalang sepenuhnya penyebaran berita palsu, tetapi yang lebih penting adalah mendidik masyarakat supaya membuat semakan fakta sebelum berkongsi sesuatu maklumat,” katanya.-UTUSAN










