BEIJING: Satu letupan di sebuah kilang bunga api di wilayah Hunan, China mengorbankan 26 orang dan mencederakan 61 yang lain, menurut media kerajaan.
Operasi menyelamat di kilang Huasheng Fireworks di bandar selatan Liuyang tamat selepas letupan pada petang Isnin memaksa pihak berkuasa mengosongkan kawasan dalam radius 3 kilometer dari kilang tersebut.
Pihak berkuasa mengerahkan lebih 1,500 anggota kecemasan bersama anjing pengesan, dron dan robot. Mereka turut menyelamatkan tujuh orang yang terperangkap di bawah runtuhan.
Polis yang sedang menyiasat punca letupan mengambil langkah kawalan terhadap kakitangan yang bertanggungjawab ke atas syarikat bunga api tersebut, menurut media kerajaan China.
Pihak berkuasa berkata, dua gudang serbuk letupan dalam kawasan kilang itu menimbulkan risiko tinggi semasa operasi menyelamat dijalankan.
Selain mengosongkan kawasan sekitar kilang, pasukan penyelamat turut mengambil langkah seperti melembapkan kawasan bagi mencegah kemalangan sekunder semasa operasi menyelamat.
Kesan letupan tersebut sangat kuat sehingga tingkap sebuah bangunan kediaman berhampiran pecah, menurut laporan CCTV dari lokasi kejadian.
Mangsa yang cedera berusia antara 20-an hingga 60-an tahun, ada yang mengalami kecederaan tulang akibat terkena serpihan.
Presiden, Xi Jinping mengarahkan usaha menyeluruh untuk mencari mangsa hilang dan menyelamatkan yang cedera, serta meminta siasatan dijalankan bagi memastikan pihak bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.
Pihak berkuasa tempatan berkata, mereka sedang memantau kualiti air dan udara di kawasan sekitar dan mendapati indikator alam sekitar masih normal.
Seorang penduduk yang tinggal kira-kira satu kilometer dari kilang berkata, kampung mereka terpaksa melalui laluan alternatif selepas batu-batu bertabura di atas jalan.
“Cermin rumah kami pecah, bingkai tingkap aluminium bengkok, malah pintu keluli tahan karat juga rosak teruk,” katanya.
Seorang lagi penduduk berkata, dia bergegas meninggalkan kampung itu kerana ketakutan.
Bandar Liuyang dikenali sebagai pusat pengeluaran bunga api dan sering digelar pengeluar bunga api terbesar di dunia.-AGENSI










