PETALING JAYA: Keputusan unilateral oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) Malaysia untuk melaksanakan penyelarasan baharu kekerapan kitaran pembayaran (remitans) dijangka meningkatkan tekanan aliran tunai kepada agensi dan pengendali pelancongan di negara.
Naib Presiden Pengangkutan Udara, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Dr. Fazil Khan berkata, pihaknya membantah langkah tersebut kerana ia dibuat tanpa rundingan lengkap bersama industri, selain masih terdapat cadangan balas serta kebimbangan yang belum diselesaikan.
Katanya, perubahan itu menyebabkan agensi perlu membuat bayaran kepada syarikat penerbangan dengan lebih cepat, sekali gus memberikan tekanan kepada aliran tunai.
“MATTA menegaskan bahawa agensi pelancongan di Malaysia bukan ahli IATA tetapi beroperasi sebagai ejen bertauliah IATA di bawah Program Agensi Penumpang.
“MATTA secara jelas menolak pelaksanaan, namun, IATA Malaysia tetap bertegas untuk meneruskan pelaksanaan.
“Sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kestabilan kewangan dan operasi ejen bertauliah mesti dibangunkan melalui proses yang adil, telus dan berbentuk rundingan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, setiap agensi pelancongan juga mempunyai hak untuk membuat keputusan sendiri sama ada mahu mematuhi perubahan kekerapan tersebut atau tidak.
“Setiap agensi perlu membuat keputusan secara bebas sama ada untuk mematuhi kekerapan remitans baharu tersebut. MATTA tidak mempunyai kuasa untuk memaksa pematuhan atau tidak pematuhan.
“Sehubungan itu, MATTA tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang akibat atau tindakan buruk yang diambil oleh IATA terhadap agensi yang memilih untuk tidak mematuhi keperluan yang disemak semula tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, MATTA akan membawa perkara itu ke peringkat Global Joint Council (PAPGJC) bagi mendapatkan semula semakan terhadap keputusan tersebut supaya satu penyelesaian lebih seimbang dapat dicapai.-UTUSAN








