ISKANDAR PUTERI: Hasrat kerajaan negeri untuk mengusulkan cadangan lima jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan pada Khamis ini dilihat dibuat secara tergesa-gesa tanpa libat urus menyeluruh dibuat terlebih dahulu.
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Johor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, pihaknya tidak pernah dimaklumkan berhubung perkara itu sebelum pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis lalu.
“Kami tidak tahu apa prosedur atau syarat-syaratnya, kami tidak pernah dipanggil untuk libat urus jadi kami tidak tahu.
“Kami yang merupakan pembangkang tulen di negeri ini tertanya-tanya, tetapi rupanya bukan kami sahaja sebaliknya rakan kerajaan Perpaduan iaitu ADUN Pakatan Harapan (PH) juga dilihat tidak menyokong ADUN lantikan, mungkin hubungan antara mereka tidak harmoni,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di pekarangan Sidang DUN Johor, di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd. Aziz turut mempersoalkan tindakan tersebut yang dilihat hanya akan memberi kelebihan kepada kerajaan negeri semasa iaitu Barisan Nasional (BN).
“Apakah kriteria yang diambil kira untuk jawatan ADUN lantikan ini, sekiranya melibatkan individu daripada parti yang menang (pilihan raya) maka tidak perlu, masuk sahaja pilihan raya dan jika menang buatlah kerja sebagai ADUN sebenar.
“Persoalan kedua adalah apakah ADUN lantikan ini akan menerima pencen seperti ADUN sebenar sedangkan mereka tidak diundi rakyat. Apakah fungsinya sekiranya hanya untuk bantu menangkan BN dalam pilihan raya,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon mengesahkan kerajaan Johor akan membentangkan cadangan memperkenalkan lima jawatan ADUN lantikan pada sesi Sidang DUN, Khamis ini.










