PETALING JAYA: Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon mengingatkan anak buahnya agar tidak leka sebaliknya mengekalkan momentum positif menjelang aksi separuh akhir pertama Selangor FC menentang Nam Dinh FC dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, malam ini.
Katanya, perlawanan menentang kelab dari Vietnam itu bukan sekadar memburu kemenangan, tetapi menjadi pentas terbaik untuk menguji tahap konsistensi serta disiplin taktikal pasukan dalam saingan peringkat serantau.
“Ini perlawanan penting untuk kita. Kita mahu teruskan rentak kemenangan dan pada masa sama memperbaiki kelemahan yang masih ada. Dalam kejohanan seperti ini, setiap kesilapan pasti dihukum,” katanya.
Pan Gon turut mengakui kekuatan pasukan lawan yang dilihat semakin meningkat, khususnya dari segi organisasi permainan dan ketajaman jentera serangan.
“Nam Dinh bukan pasukan yang boleh dipandang mudah. Mereka ada pemain import yang berkualiti dan mampu memberi ancaman pada bila-bila masa. Jadi, pemain saya perlu kekal fokus sepanjang 90 minit,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menuntut barisan pemain agar menampilkan aksi lebih profesional tanpa dipengaruhi emosi, terutama dalam perlawanan yang dijangka berlangsung sengit.
“Kita mahu bermain dengan disiplin tinggi, elakkan kesilapan mudah dan perkara negatif. Jika semua pemain ikut pelan permainan, saya yakin kita mampu dapat keputusan positif,” katanya lagi.
Aksi malam ini dilihat sebagai peluang terbaik buat Selangor untuk mengukuhkan reputasi di pentas ASEAN, sekali gus memberi isyarat awal bahawa mereka serius memburu tiket ke final ACC musim ini.-UTUSAN










