KUALA LUMPUR: Selepas lebih sedekad menyepi, kumpulan rock Malaysia, Disagree, kembali menghangatkan industri muzik menerusi single baharu yang berjudul Let’s Do It All Again, sebagai tanda mereka masih belum menutup sepenuhnya perjalanan yang pernah ditinggalkan bersama peminat.
Menurut kumpulan alternatif rock Malaysia itu, kemunculan semula tersebut bukan sekadar mahu mengubat kerinduan peminat, sebaliknya ada cerita yang belum diselesaikan.
“Kembalinya Disagree bukan sekadar didorong nostalgia, tetapi juga keinginan untuk menutup satu bab yang tidak pernah berakhir untuk kami dan juga para peminat.
“Kami sebenarnya tidak sempat mengucapkan selamat tinggal. Kehidupan terus berjalan, begitu juga kami.
“Tetapi di suatu titik, ada sesuatu yang kami tinggalkan tanpa penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan.
Disagree yang dianggotai Zahid, Hamka dan Taa sebelum ini pernah menjadi antara kumpulan alternatif rock berpengaruh di Malaysia sekitar awal 2000-an hingga awal 2010-an.
Selepas membawa haluan masing-masing akibat perubahan kehidupan, komitmen keluarga dan kerjaya, kumpulan itu mengakui mereka tidak pernah benar-benar melupakan muzik.
“Lebih sedekad lalu, perjalanan hidup membawa setiap ahli ke haluan berbeza, menjauhkan kami daripada dunia muzik dan meninggalkan rasa rindu yang tidak pernah terlerai,” katanya.
Dalam pada itu, solo terbaru itu, Let’s Do It All Again yang dilancarkan pada 15 Mei lalu yang mengangkat tema kepulangan, penyesalan dan penghargaan terhadap peminat yang masih setia menantikan mereka.
Menurut Disagree, lagu tersebut turut menjadi gambaran perjalanan mereka sebagai sebuah kumpulan yang pernah menghilang tanpa sempat memberikan penutup yang jelas kepada peminat.
“Lagu ini mengisahkan perjalanan sebuah kumpulan yang suatu ketika dahulu memiliki segalanya, semangat, hubungan yang kuat dan sokongan peminat. Namun, perlahan-lahan menghilang tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal.
“Pada terasnya, lagu ini merupakan surat permohonan maaf yang ikhlas untuk memperbetulkan keadaan, serta satu undangan untuk kembali berhubung,” katanya.
Lagu tersebut dirakam di Malaysia dan Australia, selain diterbitkan oleh pemenang pelbagai anugerah AIM, Greg Henderson serta dimaster oleh pemenang Grammy, Leon Zervos di Studios 301, Australia.
Malah, kumpulan itu juga pernah menjadi antara nama tetap festival Rock The World selain membuka pentas untuk kumpulan antarabangsa seperti Hoobastank dan The All-American Rejects.
“Kami masih kumpulan yang sama di hati. Bezanya sekarang kami lebih matang.
“Meskipun sedikit rapuh di beberapa sudut, tetapi lebih tekad dan bersemangat berbanding sebelum ini” katanya.
Selain single baharu, Disagree turut bakal tampil dengan album penuh berjudul ‘Black & White in Colour’ yang menyentuh tema patah hati, trauma, hubungan semula dan perjalanan kehidupan.
Untuk rekod, pada awal 2000-an hingga awal 2010-an, Disagree membina pengaruh kukuh dengan bunyi indie progesif rock Malaysia yang unik yang dipersembahkan dalam bahasa Inggeris. Antara lagu hits mereka termasuklah ‘Crumb’, ‘Suicide Note’, ‘Scarecrow Adams’, ‘Osaka’ dan ‘Haley’.









