Kraftangan tempatan jadi pilihan pengunjung sambutan Tadau Kaamatan  - Utusan Malaysia

Kraftangan tempatan jadi pilihan pengunjung sambutan Tadau Kaamatan 

PENGUNJUNG membuat pilihan kraftangan tempatan untuk dibeli sebagai tanda kenangan pada hari terakhir sambutan perayaan Tadau Kaamatan di Hongkod Koisaan, Penampang, Kota Kinabalu, Sabah hari ini.-UTUSAN/HARDY JOE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPANG: Kraftangan tradisional tempatan menjadi buah tangan pengunjung pada hari terakhir sambutan Tadau Kaamatan di Hongkod Koisaan, di sini, sebelum perayaan terbesar Sabah itu melabuhkan tirai petang ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati hampir 100 gerai menjual kraftangan dibuka di sekitar lokasi sambutan sekali gus memudahkan pengunjung mendapatkan cenderamata untuk dibawa pulang sebagai kenangan.

Harga ditawarkan peniaga juga mampu milik, bersesuaian dengan suasana kemeriahan perayaan serta memberi peluang pengunjung memiliki kraftangan mereka inginkan.

Seorang peniaga kraftangan tembaga, Athur John, 59, berkata, setiap cenderamata dijualnya pada harga sederhana supaya orang ramai mampu memperolehnya.

“Saya letak harga mampu milik pada setiap kraftangan supaya ramai pelanggan dapat berbelanja mengikut kemampuan kewangan mereka. Pelanggan dapat barang harga berpatutan, saya pula gembira dan puas hati dapat berurus niaga dengan mereka,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Lucia James, 39, memberitahu, setiap tahun dia akan berniaga kraftangan sempena sambutan Tadau Kaamatan itu kerana ia seolang sudah menjadi ‘lubuk pendapatan’ buat peniaga sepertinya.

“Walaupun terpaksa bersaing dengan ramai peniaga lain namun rezeki setiap mereka sentiasa ada, apabila setiap gerai tidak putus dikunjungi pelanggan. Saya hargai kesudian setiap pelanggan yang sudi singgah di gerai sambil membeli kraftangan seperti rantai leher, anting-anting replika gong, gelang tangan, rantai kunci dan topi,” katanya.

Katanya, kraftangan tempatan itu berupaya menyatukan penduduk etnik lain yang mengenakan perhiasan itu, walaupun mereka datang daripada kaum berbeza.

Tambahnya, peluang yang diberikan kepada peniaga kraftangan tempatan dilihatnya bukan hanya untuk kebaikan ekonomi malah ke arah memperkenalkan serta memelihara warisan tempatan supaya kekal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN