BARU-baru ini, Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) telah menerima lebih daripada 40 permohonan untuk menubuhkan atau mengembangkan operasi pusat data di Malaysia tahun ini, mencerminkan minat pelaburan yang berterusan dalam industri infrastruktur digital negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, setiap cadangan dinilai bukan sahaja dari segi nilai pelaburannya, malah keperluan tenaga, air dan ketersambungan, serta potensi sumbangannya terhadap aspirasi ekonomi dan digital jangka panjang Malaysia.
Sehubungan itu, persoalannya, sejauh mana pelaburan pusat data berkenaan mampu diterjemahkan kepada nilai tambah ekonomi yang benar-benar memberi manfaat kepada Malaysia?
Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, Malaysia perlu beralih daripada sekadar mengejar jumlah pelaburan pusat data kepada strategi yang memastikan setiap projek mampu menghasilkan nilai tambah lebih besar kepada ekonomi domestik.
Katanya, lebih 40 permohonan untuk menubuhkan atau mengembangkan operasi pusat data diterima DCTF tahun ini, mencerminkan daya tarikan Malaysia sebagai lokasi infrastruktur digital serantau.
Bagaimanapun, perkembangan pesat itu tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai pelaburan atau jumlah megawatt yang dibangunkan semata-mata kerana pusat data memerlukan modal, tenaga, air, tanah dan kemudahan ketersambungan yang besar.
“Cabaran sebenar ialah memastikan pusat data menghasilkan nilai tambah domestik.
“Kita perlu bergerak daripada model data centre investment’ kepada data centre value creation,” katanya Utusan Malaysia.
Menurut Barjoyai, setiap projek perlu dinilai berdasarkan nilai ekonomi yang dijana bagi setiap megawatt elektrik yang digunakan, kecekapan penggunaan air, pekerjaan berkemahiran tinggi, penggunaan vendor tempatan, pemindahan teknologi, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), eksport digital serta sumbangannya terhadap produktiviti ekonomi.
Katanya, pusat data tidak seharusnya dilihat sebagai pengganti sektor pembuatan atau perkhidmatan, sebaliknya sebagai infrastruktur asas kepada perkembangan ekonomi berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Jika kapasiti pusat data hanya digunakan untuk menyimpan dan memproses data syarikat asing, nilai domestiknya mungkin terhad.
“Namun, jika kapasiti itu digunakan untuk membangunkan AI tempatan serta aplikasi untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kesihatan, pendidikan, pertanian, pembuatan, kewangan dan perkhidmatan kerajaan, kesannya boleh merebak ke seluruh ekonomi,” katanya.
Justeru, katanya, sasaran Malaysia tidak seharusnya berhenti pada status sebagai hab pusat data, sebaliknya negara perlu bergerak ke arah menjadi hab penciptaan nilai AI dan digital.
Barjoyai berkata, dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, struktur ekonomi Malaysia berkemungkinan menjadi lebih berintensifkan modal, teknologi dan elektrik susulan pertumbuhan pusat data serta AI.
“Dasar pusat data perlu bergerak seiring dengan dasar tenaga, air, pendidikan, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), R&D dan pembangunan industri tempatan.
“Persoalannya bukan lagi berapa banyak pusat data yang Malaysia boleh tarik, tetapi berapa banyak nilai ekonomi Malaysia boleh cipta daripada setiap pusat data yang kita benarkan,” katanya.
Selain itu, perkembangan itu semakin penting apabila permintaan elektrik pusat data di Malaysia dijangka melebihi 5,000 megawatt menjelang 2035.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, pembukaan pusat data baharu mampu memberikan kesan positif kepada ekonomi negara sekiranya industri berkenaan mengutamakan penggunaan tenaga mahir tempatan serta memastikan berlaku pemindahan teknologi dan kepakaran kepada rakyat Malaysia.
Katanya, penglibatan tenaga kerja tempatan dalam industri pusat data penting bagi memastikan manfaat pelaburan tidak terhad kepada aliran modal masuk, sebaliknya dapat mewujudkan kesan berganda kepada ekonomi domestik.
“Nilai tambah ekonomi daripada pembukaan pusat data sebenarnya akan memberi kesan baik kepada ekonomi dengan syarat pusat data baharu ini menggunakan orang tempatan sebagai tenaga mahirnya.
“Selain itu, pekerja asing yang terlibat juga perlu memastikan berlaku pemindahan teknologi dan kepakaran sepanjang mereka beroperasi di negara ini. Jika kedua-dua perkara ini dapat dilaksanakan, Malaysia akan mendapat manfaat yang signifikan,” katanya.
Menurut beliau, keseimbangan antara usaha menarik pelaburan pusat data dengan penggunaan sumber negara secara mampan perlu dilihat dari perspektif ekonomi dan sosial.
Beliau berkata, kemasukan pelaburan dalam jangka pendek dan panjang berpotensi meningkatkan hasil cukai, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan kuasa beli dan aktiviti ekonomi tempatan.
“Pada masa sama, kualiti tenaga kerja yang diambil juga perlu diberi perhatian, khususnya dari segi kemahiran, kelayakan serta keupayaan mereka menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan masyarakat tempatan.
“Dalam jangka panjang, perkara ini penting supaya penggunaan sumber negara seperti air, tanah dan tenaga dapat memberikan manfaat maksimum,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya trend pelaburan ini berterusan, Malaysia berpotensi muncul sebagai satu daripada hab pusat data utama di rantau ASEAN. – UTUSAN











