SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan rombakan Kabinet akan diadakan susulan hasrat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook meletakkan jawatan daripada Kabinet.
Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau sudah pun dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan itu sendiri dan kedudukan beliau serta keputusan rombakan Kabinet itu akan ditentukan selepas mengadakan pertemuan dengannya dalam masa terdekat.
“Saya belum sempat berbincang apapun lagi, kena dengar pandangan dia (dan) faham. Sebab dia adalah seorang yang ada prinsip.
“Dia memang daripada awal bantah peraturan yang memberi gambaran seolah-olah kita lemah atau longgar terhadap amalan rasuah terutama apabila kita mengambil tindakan yang banyak lain termasuk perasuah-perasuah kecil,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hi-tea Sekretariat Reunion Reformis di sini semalam.
Kelmarin media melaporkan Anthony Loke menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.
Menurut Anthony Loke, DAP bagaimanapun menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, namun parti mempunyai pendirian berhubung keputusan tersebut yang sukar diterima DAP dan ramai rakyat Malaysia.
Sementara itu, jelas Anwar, beliau akan bertemu selepas Ahli Parlimen Seremban itu pulang dari pertemuan dengan Perdana Menteri China, Li Qiang di Shanghai.
“Belum-belum (menerima surat perletakan jawatan), dia baru bermesyuarat semalam (kelmarin), ada maklum kepada saya dan akan bawa surat dan berbincang dengan saya. Saya kata, tak apalah bila ada ruang,” katanya.
Jumaat lalu, Najib mendapat pengampunan bersyarat dengan beliau perlu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk membayar denda RM50 juta.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64.
Sementara itu, Anwar mengesahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Beliau yang juga Pengerusi PH berkata, perkara itu diserahkan kepada Naib Preisiden, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menguruskannya.
”Yang itu, saudara Amirudin akan bincangkan,” katanya ringkas.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, Bersatu kini mencari hala tuju dan jajaran politik baharu termasuk kemungkinan bersama PH selepas kedudukannya dalam Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin tersisih.
Menurut sumber pimpinan Bersatu, perkara itu dikatakan mendapat ‘restu’ daripada daripada pimpinan tertinggi parti malah cadangan jajaran itu juga di bawah pengetahuan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.-UTUSAN.











