KUALA LUMPUR: Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 menjadi platform himpunan tokoh-tokoh terbaik negara daripada pelbagai lapangan dalam sistem pendidikan untuk menyampaikan idea dan cadangan.
Pengerusi kongres itu, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, perbincangan dalam kongres itu memberi tumpuan kepada persoalan utama iaitu bagaimana idea-idea besar dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang sistematik, berimpak dan lestari.
“Kita percaya bahawa dengan pendekatan yang tepat, keberanian melakukan pembaharuan serta kesungguhan politik kuat, Bumiputera mampu berada di barisan hadapan sebagai masyarakat yang kompetitif, progresif dan bermaruah di peringkat nasional mahupun di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Hala Tuju Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, kongres itu melibatkan enam sesi utama yang melibatkan 25 orang pembentang pakar dan enam pengerusi serta moderator.
Fokus utama yang dibincangkan termasuk penilaian dasar pendidikan bumiputera, pengarusperdanaan aliran tahfiz dan pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Fokus lain kata beliau adalah pendidikan awal kanak-kanak, wakaf pendidikan serta hala tuju pendidikan negara pada masa hadapan yang akan dikendalikan bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.
Menurutnya, segala dapatan dan perbahasan kongres itu akan dirumuskan dalam bentuk resolusi untuk diserahkan kepada Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.
“Seterusnya ia akan diserahkan kepada Perdana Menteri untuk menjadi agenda negara dan kita mencadangkan agar ia dimasukkan sebagai salah satu daripada agenda besar dalam Majlis Pendidikan Negara.
“Harapan kita jelas, agar resolusi ini tidak menjadi sekadar dokumen yang tersimpan di rak-rak pejabat, tetapi menjadi asas kepada tindakan nasional yang konkrit, berani dan berkesan,” katanya.-UTUSAN










