KKM mohon potongan bajet tidak libat sektor penting  

KKM mohon potongan bajet tidak libat sektor penting  

Lawatan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh ke tapak projek Klinik Kesihatan Manjalara yang berhadapan dengan Balai Bomba Manjalara. -UTUSAN/ M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memohon agar sebarang pemotongan peruntukan melibatkan kementerian itu dipertimbangkan semula dan tidak melibatkan perkhidmatan penting. 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya telah memajukan permohonan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar cadangan awal pemotongan sebanyak RM3.04 bilion oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) dinilai semula.

Menurutnya, Perdana Menteri telah memberikan pandangan positif untuk mempertimbangkan semula perkara tersebut terutama yang melibatkan kepentingan rakyat dan kebajikan kakitangan.

“Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah menyambut permohonan kami supaya cadangan potongan RM3.04 bilion itu tidak dilaksanakan seperti yang dirancang awal.

“Sebaliknya, ia akan dipertimbangkan semula dengan melihat kepada hal-hal terkait perkhidmatan teras serta keperluan sumber manusia kami,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Klinik Kesihatan Manjalara di ibu negara, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Dzulkefly berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha KKM bersama pasukannya untuk segera menyediakan cadangan balas mengenai skop perbelanjaan yang boleh dioptimumkan tanpa menjejaskan kualiti rawatan.

Tegas beliau, sekiranya langkah penjimatan atau pemotongan tetap perlu dilakukan, ia seharusnya hanya melibatkan sektor yang tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan penting.

“Kalau boleh, saya berharap jangan ada potongan langsung. 

“Namun, jika perlu juga dibuat potongan, biarlah ia hanya kepada perkara-perkara yang bukan perkhidmatan teras atau yang tidak terkait dengan sumber manusia.

“Apa yang paling utama adalah segala perkhidmatan yang melibatkan kemaslahatan rakyat tidak terjejas sama sekali,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kewangan telah mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Katanya, cadangan itu dilaporkan dibuat susulan keperluan menyemak semula perbelanjaan kerajaan, khususnya ketika beban subsidi dijangka meningkat dan memberi tekanan kepada kewangan negara.

“Pengurangan itu membabitkan perbelanjaan operasi kedua-dua kementerian, namun pihak Kementerian Kewangan memberi jaminan bahawa perkhidmatan asas tidak akan terjejas,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN