PUTRAJAYA: Peniaga yang dihukum penjara maksimum 14 tahun kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya sehingga koma akan didakwa atas pertuduhan hampir sama membabitkan isterinya yang lain, dalam masa terdekat.
Peguam Kamal Hisham Ja’afar yang mewakili Rosmaini Abd. Raof ketika dihubungi media memberitahu, pendakwaan akan dilakukan di Mahkamah Alor Setar, Kedah.
“Rosmaini kini ditahan di penjara Kajang dan akan dibawa ke Alor Setar untuk menghadapi pertuduhan kerana mendatangkan kecederaan sehingga menyebabkan isterinya keguguran,” kata peguam itu.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan menaikkan hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan terhadap Rosmaini kepada 14 tahun atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya, Jahidah Nordin.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutusan demikian selepas mendapati tempoh hukuman penjara sebelum ini tidak memadai. Lelaki itu juga diperintah untuk membayar pampasan RM25,000 kepada bekas isterinya itu.
Dalam kes terbaharu, Rosmaini ditahan pad 28 April lalu selepas menghilangkan diri selama beberapa hari selepas memukul isterinya yang hamil dalam kejadian di rumah mereka di Ambangan Heights, Sungai Petani, Kedah.
Mangsa, seorang jururawat didakwa dipukul menggunakan penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir dan batang penyapu selain suspek turut dipercayai melarikan barangan kemas dan wang simpanan berjumlah RM50,000 selepas kejadian itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, Rosmaini dan mangsa berkahwin di negara jiran pada Disember lalu, namun difahamkan belum mendaftar perkahwinan secara rasmi.-UTUSAN










