PETALING JAYA: Sebuah kilang perkakasan besi musnah 90 peratus apabila premis itu terbakar dalam kejadian pagi tadi di Sungai Buloh, Selangor.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, impak kebakaran tersebut turut menjejaskan sebuah kilang perabot yang terletak bersebelahan.
Katanya, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 7.32 pagi tadi.
“Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh tiba di lokasi kejadian pada pukul 7.40 pagi.
“Kebakaran melibatkan dua premis perindustrian iaitu kilang perkakasan Alive Hardware Sdn. Bhd. dan kilang perabot Cozey Living di Sungai Buloh.
“Kilang perkakasan berkeluasan 50 x 200 kaki itu mengalami kemusnahan kira-kira 90 peratus akibat kebakaran yang merebak dengan cepat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Mukhlis, kilang perabot Cozey Living yang mempunyai keluasan sama turut mengalami kerosakan teruk apabila kira-kira 60 peratus struktur premis berkenaan terbakar.
Katanya, sehingga kini tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa direkodkan sewaktu operasi pemadaman dijalankan.
“Operasi turut mendapat bantuan anggota serta aset daripada BBP Bukit Jelutong, BBP Subang Jaya, BBP Damansara dan BBP Selayang bagi mengawal kebakaran.
“Seramai 26 anggota bomba terbabit dalam operasi tersebut dengan kekuatan empat jentera Fire Rescue Tender, dua ‘Water Tanker’ serta dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dijalankan dan kes masih dalam tindakan,” katanya. – UTUSAN










