PETALING JAYA: Polis mengesahkan tiga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 34 Lebuh Raya Karak menghala ke Kuala Lumpur, di sini awal pagi tadi merupakan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi itu, kereta dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah treler dan menyebabkan tiga lelaki berusia lingkungan 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Gombak, Pemangku Senior Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut sekitar pukul 2.30 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa menaiki sebuah kereta jenis Volkswagen Golf dari arah Genting Highlands menghala ke Kuala Lumpur.
“Kereta dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah treler yang sedang bergerak.
“Akibat kemalangan itu, tiga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Selayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat semua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Faizal Mohd di talian 019-2676097 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” ujarnya. – UTUSAN










