SEPANJANG 45 tahun hidup, bukan tidak pernah ada wanita yang mengisi hati jejaka asal dari Ipoh, Perak ini. Namun pelakon, Iqram Dinzly, yang kini mahu dikenali sebagai IQ Dinzly reda dengan ketentuan takdir apabila hubungan istimewa tidak berakhir dengan perkahwinan. IQ Dinzly banyak belajar makna hidup melalui pengalaman termasuklah daripada caranya mencintai wanita yang pernah singgah dalam hatinya.
Bukan tidak pernah berangan memiliki seorang isteri. Namun pelakon Dunia Baru ini mengakui luka lama yang pernah menghiris hatinya sesekali masih tersisa. Tidak mendedahkan siapakah sosok wanita tersebut, sehingga kini dia mengakui hubungannya dengan wanita tersebut banyak mematangkannya menjadi seorang lelaki. Apa ceritanya? Jawablah IQ Dinzly!
Sebelum itu, kenapa tiba-tiba ubah nama jadi IQ Dinzly pula? Nanti peminat pening macam mana?
Saya tidak mahu orang guna nama Iqram Dinzly dalam mana-mana hantaran media sosial. Biarkan nama itu menjadi kenangan terindah kerana makna nama itu sangat berat untuk saya bawa. Prince Chiki Dinzly pula adalah zaman saya memahami dunia netizen dan media sosial. Sekarang beradaptasilah dengan IQ Dinzly di mana saya akan fokus perniagaan pula selepas ini.
Okay baik, mahu bercakap tentang cinta, tapi kamu tidak mahu dedahkan siapa individu tersebut. Apa kata kita beri nama samaran untuk mudahkan temu ramah? Sebenarnya apa yang terjadi dalam perhubungan itu?
Kita panggil dia ‘wanita ketiga’, sebab dia percintaan ketiga saya dalam hidup. Cuma pertama saya hendak jelaskan, saya tidak mahu salahkan mana-mana perempuan yang saya kenal, bahkan saya bersyukur kerana mereka ajar saya tentang kehidupan. Percintaan kami lebih kurang setahun, tapi cukup beri impak besar kepada saya sampai memencilkan diri ke dalam hutan, cuba untuk hilang.
Macam kejam, apa yang dilakukan? Apa jadi?
Saya boleh kata, dia ada aura negatif yang menyeramkan sampai tahap saya mungkin tidak akan boleh faham dia sampai bila-bila. Saya berjuang untuk pertahankan perhubungan tapi apabila berlaku banyak manipulasi, putar belit fakta dan sebarkan kepada orang lain dalam satu temu bual, saya fikir, cukuplah!
Sedangkan saya hanya mahu bersama keluarga di Langkawi, tak apalah.
Saya tidak suka bertengkar, orang akan ingat saya bodoh tapi sebenarnya saya sedang fahamkan gerak tubuh, ingat setiap butir perkataan yang pernah dicakap jadi tidak mudah untuk awak tipu. Saya pula banyak orang yang beri informasi segala ‘plot’ yang dikatakan.
Keadaan kamu ketika itu macam mana?
Saya hilangkan diri ke Sungai Buloh, saya duduk empat bulan dalam hutan bercinta dengan alam. Saya memang suka dengan alam.
Jadi, itu terapi selepas patah hati?
Saya tidaklah sampai patah hati, cuma tak kuasa untuk melayani, itu saja. Saya lari kejap, bukan hendak kata dunia selebriti tidak seronok cuma adakalanya mahu berdiam diri.
Adakah ini petanda serik mahu bercinta dan memahami perempuan?
Saya simpan untuk isteri saya yang sah. Mungkin bukan orang Malaysia, Singapura, Brunei, bukan Indonesia. Mungkin bidadari di syurga (ketawa).
Tapi ada dendam yang tersisa sampai sekarang terhadap individu itu?
Buat apa saya hendak berdendam? Saya maafkan semua dan doa ‘Ya Allah Tuhanku, sekiranya ada segala dosa siapapun aku dengan sesiapa sekalipun, aku maafkan’. Sebab, tidak mahu ada dosa yang tercalit membuatkan saya tidak dapat masuk syurga. Anggap semua proses pembelajaran sahaja.
Bila cakap tentang perkahwinan, apa yang kamu bayangkan?
Saya rasa perkahwinan membuatkan kita banyak berkongsi, mahukan sesuatu yang harmoni bercinta sampai tua, sampai anak-anak. Saya dapat rasakan bila kita dapat seseorang yang bukan kata memahami tetapi juga bertoleransi membuatkan kita saling menyempurnakan antara satu sama lain.
Wanita selepas ini, apa kriteria yang kamu letak?
Saya lebih suka seorang yang misteri, tidak aktif sangat media sosial. Selepas ini saya mahu lebih kepada bisnes dan hendak banyak benda-benda yang lebih harmonilah, lebih banyak santai berdua. Itu bahagia untuk saya. Sebab gambaran kita dekat dunia ini akan bawa gambaran kita di akhirat nanti. Selain itu, adab dan akidah.










