Berani mencuba asal tidak melampaui batas - Ezaidi Aziz - Utusan Malaysia

Berani mencuba asal tidak melampaui batas – Ezaidi Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam arus industri hiburan yang semakin rancak dan sarat persaingan, kehadiran pelakon baharu umpama sering datang dan pergi.

Namun bagi Ezaidi Aziz, 31, langkahnya dalam dunia seni bukan sekadar mencuba nasib, sebaliknya dibina atas prinsip dan komitmen yang jelas. Malah apabila ditanya sejauh mana dia berani meneroka sesebuah watak, Ezaidi mengakui sanggup melakukannya.

Pun begitu, sudah tentu dalam pada berani, itu tidak bermakna dia tergamak sesekali menggadaikan batas diri.

Mengakui dirinya bukan seorang yang terlalu memilih watak, Ezaidi bagaimanapun menegaskan setiap tawaran tetap diteliti, khususnya apabila melibatkan babak sensitif.“Sebagai pelakon, saya faham tuntutan untuk menjadi fleksibel. Saya tidak boleh terlalu memilih sehingga menyekat peluang sendiri. Namun, dalam masa sama saya ada prinsip yang perlu dijaga.

“Kalau ada babak yang dirasakan melampaui batas, saya akan cuba berbincang dengan pengarah dan produksi. Biasanya kita akan cari jalan lain supaya babak itu tetap sampai kepada penonton tanpa perlu dilakukan secara keterlaluan.

“Sebagai contoh, jika melibatkan babak sensitif seperti adegan intim atau keganasan melampau, produksi selalunya menggunakan teknik kamera atau suntingan bagi menggambarkan situasi tersebut. Jadi, kita tidak perlu melakukannya secara nyata. Bagi saya, itu lebih profesional dan menjaga semua pihak,” katanya.

Tambahnya, sokongan keluarga serta pemahaman daripada pihak produksi menjadi antara faktor yang memudahkan dia kekal berpegang kepada prinsip tersebut tanpa menjejaskan kerjaya.

Dalam masa sama, demi memastikan setiap watak yang digalas tampil meyakinkan, Ezaidi tidak berkira soal usaha, termasuk melakukan perubahan fizikal yang ketara demi memenuhi kehendak naskhah.

“Sekarang ini persaingan dalam industri sangat pantas dengan kehadiran ramai pelakon baharu. Jadi, saya rasa saya perlu beri lebih daripada biasa. Saya letakkan komitmen sehingga 200 peratus.

“Daripada segi fizikal, saya pernah ubah penampilan secara drastik. Dahulu saya kurus dan berambut panjang, tetapi apabila penerbit mahukan imej berbeza, saya bina semula badan dan ubah gaya.

“Bagi saya, itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sebagai pelakon. Kita perlu percaya kepada kehendak watak dan juga visi pengarah. Asalkan bayaran setimpal dan usaha itu berbaloi, saya sanggup lakukan perubahan tersebut,” ujarnya.

Perjalanan seni Ezaidi sebenarnya tidak bermula dengan mudah. Dia pernah mencuba bidang lakonan sekitar 2017 atau 2018, namun mengambil keputusan untuk berhenti selepas merasakan kerjaya itu tidak memberi kepuasan ketika itu.

“Ketika itu, saya rasa bidang ini kurang sesuai dengan diri saya. Mungkin juga disebabkan kadar bayaran tidak setimpal dengan kerja yang saya lakukan sebelum ini. Jadi, saya ambil keputusan untuk berehat selama empat hingga lima tahun.

“Sepanjang tempoh itu, saya buat pelbagai perkara termasuk lakonan kecil, iklan televisyen, peragaan dan juga perniagaan kecil-kecilan. Ada juga rakan yang menasihati saya supaya fokus 100 peratus jika benar-benar mahu berjaya dalam bidang ini. Dari situ, saya mula berfikir semula dan cuba kembali dengan lebih serius,” katanya.

Keputusan itu ternyata tidak sia-sia apabila penghujung tahun lalu menjadi titik kebangkitan buatnya. Ezaidi mula mendapat peluang menerusi beberapa projek termasuk naskhah bersama Astro serta telefilem raya bergandingan dengan Fattah Amin.

Malah, Ezaidi juga semakin mendapat perhatian menerusi watak Ungku Jiyad dalam drama berjudul Isteri Rahsia Ungku Jabbar untuk siaran Astro Ria.

“Watak Ungku Jiyad ini sangat mencabar kerana dia bukan antagonis yang jahat sepenuhnya. Dia seorang anak yatim piatu yang dibesarkan dalam kemewahan dan hanya bergantung kepada abangnya sejak kecil. Disebabkan itu, dia menjadi seorang yang manja, posesif dan cepat marah.

“Dia juga mempunyai sifat narsistik, di mana dia merasakan semua perkara adalah miliknya kerana dia ada wang. Walaupun tindakannya mungkin dilihat salah atau jahat, bagi dirinya ia adalah betul. Jadi, saya perlu memahami sudut pandang itu supaya watak ini nampak realistik dan bukan sekadar jahat tanpa sebab,” jelasnya.

Pengalaman peribadi berdepan individu bersifat narsistik dalam kehidupan sebenar turut membantu Ezaidi menghidupkan watak tersebut dengan lebih berkesan.

“Saya pernah berjumpa dengan individu seperti itu, sama ada dalam kalangan rakan atau hubungan peribadi. Berhadapan dengan orang narsisistik ini sangat memenatkan mental kerana mereka sentiasa mahu menang dan merasakan diri mereka betul. Disebabkan itu juga, saya pernah ‘cut off’ hubungan dengan rakan yang mempunyai sifat sedemikian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN