70 peratus belia terlibat penyalahgunaan dadah

70 peratus belia terlibat penyalahgunaan dadah

RUSLIN Jusoh sewaktu berucap pada program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) Tahun 2026 “Jelajah Aspirasi Gombak - Kita Turun Padang” di dewan komuniti Kampung Kemensah, Ulu Klang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir 70 peratus belia berusia 19 hingga 40 tahun dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah sintetik di seluruh negara.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, trend itu menunjukkan penagihan dadah kini semakin serius dalam kalangan generasi muda.

“Setakat tahun 2025 seramai 191,000 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah manakala ramai lagi dipercayai masih bebas tanpa sebarang tindakan penguatkuasaan.

“Selain itu, sebanyak 70 peratus kes penagihan melibatkan remaja ketika ini dipercayai berpunca daripada penggunaan dadah sintetik yang semakin mudah diperoleh.

“AADK ketika ini turut memantau kira-kira 50,000 individu di bawah pengawasan, selain menempatkan hampir 5,000 penagih di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) Tahun 2026 Jelajah Aspirasi Gombak-Kita Turun Padang di Dewan Komuniti Kampung Kemensah, Ulu Klang, Gombak hari ini.

Tambah Ruslin, usaha membanteras dadah tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pihak polis dan AADK sebaliknya memerlukan kerjasama masyarakat, belia serta pemimpin komuniti setempat.

Katanya, ibu bapa perlu lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak kerana ramai penagih muda dikesan mula terjebak akibat pengawasan keluarga yang lemah.

“Antara petanda awal termasuk keluar rumah sehingga lewat malam, ponteng sekolah, enggan bekerja serta menunjukkan perubahan emosi dan tingkah laku mencurigakan.

“Lebih membimbangkan penagihan dadah kini bermula seawal usia 12 tahun, termasuk membabitkan penggunaan cecair rokok elektronik atau vape bercampur bahan terlarang dikenali sebagai mushroom.

“Saya berharap Kampung Kemensah mampu menjadi contoh komuniti bebas dadah menerusi kerjasama penduduk, pihak berkuasa tempatan dan AADK secara berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN