JAKARTA: Dua warga Singapura yang sebelum ini dilaporkan hilang disahkan maut dalam letusan Gunung Dukono di Pulau Halmahera, Indonesia, kata ketua agensi penyelamat tempatan.
Pasukan penyelamat menemui mayat kedua-dua mangsa berhampiran kawasan tepi kawah dan proses pemindahan sedang dijalankan.
“Pemindahan mayat masih terganggu akibat letusan yang masih berterusan serta cuaca buruk,” kata ketua agensi tersebut, Iwan Ramdani kepada Reuters, sambil menambah hujan turut berlaku di kawasan berkenaan.
Beliau turut memaklumkan kepada CNA, mayat berkenaan berada di zon selamat buat sementara waktu.
Kedua-dua mangsa sebelum ini dikenal pasti sebagai Heng Wen Qiang Timothy, 30, dan Shahin Muhrez Abdul Hamid, 27, selepas pihak berkuasa mengeluarkan senarai individu yang terselamat dan masih hilang.
Pasukan penyelamat turut menemui beg galas yang dipercayai milik kedua-dua warga Singapura itu.
Seramai kira-kira 150 anggota penyelamat bersama dua dron haba dikerahkan sejak pagi Ahad.
Ketua Polis Halmahera Utara, Erlichson Pasaribu berkata, beberapa pemandu pelancong tempatan sedang disiasat dan mungkin berdepan tindakan undang-undang kerana membawa kumpulan pelancong Singapura dan warga Indonesia berhampiran kawah, walaupun kawasan dalam radius 4 kilometer telah ditutup untuk sebarang aktiviti.
“Para pemandu sedang disiasat atas dakwaan kecuaian yang menyebabkan kematian,” katanya kepada CNA.
Katanya, kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun di bawah Undang-Undang Pengurusan Bencana Indonesia serta peraturan keselamatan awam lain. Setakat Ahad, tiada tangkapan dibuat.
Gunung Dukono yang terletak di wilayah Maluku Utara berhampiran Lautan Pasifik mula meletus pada Jumaat, memuntahkan abu setinggi 10 kilometer dan terus mengalami letusan berskala lebih kecil selepas itu.
Pada Sabtu, pasukan penyelamat turut menemui mayat seorang warga Indonesia dipercayai seorang wanita bernama Angel. Mayat tersebut akan dibawa ke hospital wilayah untuk proses pengenalan.
Seorang pemandu pelancong tempatan berkata, berdasarkan maklumat daripada pemandu pelancong lain, mangsa dipercayai mengambil laluan yang lebih singkat tetapi lebih berbahaya ketika mendaki gunung tersebut, namun belum jelas sama ada laluan itu tidak diluluskan.
Seramai 17 orang, termasuk tujuh warga Singapura dan 10 warga Indonesia dilaporkan terselamat dalam kejadian itu.
Tujuh warga Singapura yang berjaya diselamatkan telah pulang ke negara asal pada Ahad, menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura pada Sabtu.
Agensi vulkanologi Indonesia melaporkan sekurang-kurangnya tiga letusan setakat pagi Ahad, dengan letusan tertinggi memuntahkan abu gunung berapi setinggi 1.3 kilometer.
Agensi itu masih mengekalkan tahap amaran ketiga tertinggi bagi Gunung Dukono serta melarang sebarang aktiviti dalam radius 4 kilometer dari kawah.










