AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Abd. Aziz Mat Kiram mempunyai harapan yang cukup tinggi untuk memartabatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam dalam bidang pembangunan sejak memegang amanah sebagai wakil rakyat selama empat penggal lalu sejak 2007.

Pembawaan sebagai seorang pemimpin yang sederhana, Abd. Aziz cukup dihormati oleh penduduk DUN Batu Talam malahan beliau sendiri mengenali setiap ketua keluarga kawasan itu bagi memudahkan urusan kebajikan penduduk.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Abd. Aziz berkata, beliau lebih selesa meluangkan masa seharian sepanjang minggu untuk bertemu dengan penduduk bertanyakan khabar dan menyelami masalah kebajikan masing-masing sambil berbincang dengan Penghulu Mukim dan ketua kampung bagi mencongak pembangunan setempat.
“Saya memikul amanah kerajaan negeri untuk mendekati penduduk di Batu Talam terutamanya hal kebajikan, pendidikan, ekonomi dan sosial ke arah kehidupan yang lebih selesa menerusi pekerjaan masing-masing termasuk kalangan pelajar di sini,” katanya di Pejabat UMNO Raub, bandar Raub baru-baru ini.

Abd. Aziz Mat Kiram bersama pegawai agensi kerajaan ketika melawat projek pembangunan EAT di kawasan Batu Talam, Raub, Pahang.
DATUK ABD. AZIZ
MAT KIRAM
Tarikh Lahir: 16 Oktober 1960
Usia: 66 Tahun
Tempat dilahirkan: Kampung Batu Malim, Raub.
Jawatan dalam kerajaan/politik:D
Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam
Ketua UMNO Bahagian Raub

Menurut Abd. Aziz, di DUN Batu Talam sahaja mempunyai empat mukim dan salah satunya Mukim Batu Talam mempunyai lima kampung tradisional Melayu, sembilan Kampung Orang Asli (KOA), tiga kampung rancangan Felda dan selebihnya sebuah petempatan kaum Cina, India dan bangsa lain.
Beliau berkata, DUN Batu Talam mempunyai geografi menarik, iaitu tanahnya subur, hutan hijau belum tercemar, aliran sungai, air terjun, gunung serta iklim berpotensi menjana pendapatan penduduk berasaskan pembangunan Eco-agrotourism (EAT) dengan memanfaatkan sektor pertanian, keindahan alam dan sumber semula jadi.
“Saya bersama Pejabat Daerah, agensi kerajaan, pentadbir mukim dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) sudahpun merancakkan pembangunan EAT mampu untuk meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar sambil mempromosi produk tempatan.
“Landasan EAT dapat meningkatkan ekonomi setempat seterusnya peringkat negeri dengan menawarkan peluang pekerjaan, menarik pelaburan asing dan mempromosikan budaya serta kesenian tempatan,” katanya.
Selanjutnya, Abd. Aziz berkata, pengeluaran khusus (niche product) menerusi Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) merupakan satu program yang menekankan kepada pembangunan ekonomi ‘in-situ’ selain komponen prasarana asas dan perumahan dengan kerjasama dengan agensi kerajaan, swasta dan institusi pendidikan tinggi awam.
Katanya, program itu dapat mengeluarkan peserta daripada garis kemiskinan, meningkatkan kualiti prasarana asas, pendapatan penduduk, taraf hidup masyarakat serta mewujudkan peluang pekerjaan dengan menyasarkan golongan B40, usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan penduduk kampung.
“Antaranya projek EAT, iaitu menggabungkan elemen ekopelancongan (pelancongan berasaskan alam semula jadi) dan agropelancongan (pelancongan yang berfokus kepada aktiviti pertanian melibatkan pengeluaran Nanas MD2, sayur fertigasi di KOA dan produk IKS, iaitu perusahaan sambal hitam.
Abd. Aziz yang juga Ketua UMNO Raub berkata, hasrat utama pembangunan EAT juga untuk menarik pelancong luar dan pelawat domestik yang ingin belajar dan mengalami secara langsung aktiviti pertanian dan menikmati keindahan alam semula jadi.
Katanya, pelancong yang singgah di DUN Batu Talam dapat terlibat dalam aktiviti, lawatan ke ladang atau kebun buah-buahan dengan melihat sendiri pengurusan tanaman, mengenali jenis tanaman serta pasaran hasil tani tempatan.
“Pengusaha dan penduduk terbabit juga menyediakan penginapan di kawasan ladang berkonsepkan rumah ladang atau chalet yang mesra alam seperti di Taman Eko-Rimba (TER) Lata Lembik dan Pusat Rekreasi Sungai Sia yang juga terdapat santuari ikan kelah serta kemudahan di Pusat Biotek Herba TPM Nexus Sdn. Bhd,” katanya.
Beliau berkata, Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ulu Sungai juga boleh dikunjungi untuk melihat pengeluaran pertanian terpilih secara intensif dan moden merangkumi unsur penyelidikan dan pembangunan, pendidikan, pelancongan dan pemeliharaan alam sekitar serta menyokong sektor EcoAgroTourism.
“Apa yang menarik di Batu Talam, pelancong boleh mendengar ‘Nyanyian Ungka’ dalam identiti hutan dengan wujudnya sebuah pusat rehabilitasi ungka yang pertama di Malaysia, iaitu Gibbon Rehabilitation Project (GREP) telah dibangunkan di sini oleh seorang aktivis perlindungan dan konservasi hidupan liar, Mariani Ramli,” katanya.
Tambahnya, program EAT di DUN Batu Talam turut dimeriahkan dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian masyarakat Orang Asli di Pos Satak dan Pos Buntu seperti anyaman kraf tangan dan tarian sewang.
Katanya, kesemua aktiviti Projek Prospek di bawah pembangunan EAT dijangka memberikan manfaat kepada lebih 3,000 penduduk Batu Talam, iaitu melibatkan lima kampung tradisional Melayu dan Orang Asli.
Mengakhiri pertemuan, Abd. Aziz menjelaskan pembangunan EAT sudah dilaksanakan mengikut jadual dan menampakkan hasil sambil berharap mendapat sokongan semua pihak supaya aktiviti itu bergerak lebih pantas bagi manfaat penduduk di DUN Batu Talam dan daerah Raub amnya.-UTUSAN









