Kerajaan tunggu hasil siasatan SPRM isu kolam takungan banjir - Utusan Malaysia

Kerajaan tunggu hasil siasatan SPRM isu kolam takungan banjir

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pengurusan kolam takungan banjir sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, laporan itu sudah dibuat sejak beliau masih menjadi pembangkang iaitu pada tahun 2021 dan sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas.

Menurutnya, sebarang kenyataan yang dikeluarkan tanpa mengetahui status terkini adalah tidak wajar.

“Sebenarnya, sebelum menjadi kerajaan kita sudah membuat laporan kepada SPRM. Laporan dibuat pada tahun 2021 ketika banjir besar melanda Kuala Lumpur. Jadi sudah tentu, saya juga ingin mengetahui mengenai hasil siasatan isu berkenaan.

“Jadi kita tidak akan membuat sebarang laporan lagi kerana ia adalah isu sama yang pernah kita bawa. Jadi kita akan tunggu jawapan daripada SPRM,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Stesen Keretapi Segambut Utara di ibu negara hari ini.

Sebelum ini, Hannah mendedahkan kapasiti kolam takungan banjir di Jinjang dan Batu menyusut kepada kira-kira 30 peratus selepas 17 lot tanah dipindahkan kepada pemaju.

Jumlah keluasan asal kolam takungan banjir adalah 114.5 hektar membabitkan 17 lot tanah, namun kini hanya tinggal 34.35 hektar badan air selepas pemberian milikan.

Mengulas mengenai langkah pencegahan, Hannah berkata, beberapa penambahbaikan sudah dilaksanakan bagi memastikan kelemahan dalam pengurusan kolam banjir tidak berulang.

“Ia termasuk penubuhan pasukan kerja khas membabitkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memperketat syarat teknikal setiap projek pembangunan.

“Setiap permohonan pembangunan kini perlu mematuhi sepenuhnya keperluan teknikal JPS sebelum kelulusan diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadhlun Mak Ujud berkata, syarat penyelenggaraan turut diperketat melalui perjanjian antara pihak berkuasa dan pemilik tanah bagi memastikan pengurusan lebih teratur.

“Kalau dulu syarat yang dikenakan oleh JPS adalah secara umum, tetapi kini lebih terperinci sehingga kepada penyelenggaran tasik itu sendiri.

“Syarat penyelenggaraan turut diperketat melalui perjanjian antara pihak berkuasa dan pemilik tanah bagi memastikan pengurusan lebih teratur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN