RM1.5 juta naik taraf 100 hentian bas di ibu kota - Utusan Malaysia

RM1.5 juta naik taraf 100 hentian bas di ibu kota

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tujuan membina dan menaik taraf kira-kira 100 hentian bas di sekitar ibu negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, peruntukan tambahan itu diluluskan sebagai tanda penghargaan atas kerjasama erat yang diberikan DBKL dalam memantapkan ekosistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur.

Menurutnya, langkah itu juga bertujuan menangani rungutan warga kota yang terpaksa menunggu bas di tepi jalan tanpa kemudahan hentian yang selesa.

“Kita sering menerima aduan daripada pengguna pengangkutan awam bahawa mereka terpaksa menunggu di tepi jalan kerana tiada hentian bas yang sewajarnya.

“Jadi, kita mahu perbaiki dan wujudkan hentian baharu yang lebih selesa. Kos satu hentian bas dianggarkan antara RM15,000 hingga RM30,000, maka dengan RM1.5 juta ini, kira-kira 100 hentian bas dapat dibina atau dinaik taraf,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis peluncuran Stesen KTM Segambut Utara di ibu negara hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.

Menurut Anthony, pihaknya turut memberi jaminan bahawa perkhidmatan bas GoKL akan kekal diteruskan sebagai kemudahan percuma kepada semua warga kota.

“Bas GoKL masih lagi percuma untuk warga kota. Ini adalah satu kemudahan tambahan bagi memastikan rakyat mendapat akses pengangkutan yang lebih mudah dan efisien,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memberikan cabaran kepada DBKL untuk menyiapkan projek tersebut dalam tempoh yang lebih singkat berbanding projek perintis yang dilaksanakan di Pulau Pinang sebelum ini.

“Projek usaha sama antara kementerian dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ini telah kita laksanakan di Pulau Pinang baru-baru ini. Jadi, saya harap DBKL boleh bekerja lebih cepat.

“Jika di Pulau Pinang ia mengambil masa enam bulan, saya harap DBKL boleh menyiapkannya dalam tempoh tiga bulan sahaja untuk 100 hentian bas ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN