PETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Bilik Gerakan Utama (War Room) parti itu menjelang kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai langkah memperkukuh gerak kerja politik menjelang pilihan raya.
Mohamed Azmin berkata, mesyuarat yang berlangsung semalam memberi tumpuan kepada perkembangan politik semasa di Johor apabila MPT mendengar taklimat daripada Ketua Badan Pimpinan Negeri Johor.
Katanya, susulan itu, MPT mengarahkan Badan Pimpinan Negeri Johor meningkatkan perbincangan dan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) Johor serta pelbagai pihak lain yang bersedia membawa perubahan demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri berkenaan.
“MPT turut mengambil maklum perkembangan politik semasa di Negeri Sembilan dan Melaka yang dijangka berdepan PRN dalam masa terdekat.
“Bersatu bersetuju mengadakan sesi perbincangan strategik peringkat tertinggi pada Jun depan yang akan melibatkan kepimpinan tertinggi parti dari Johor, Negeri Sembilan dan Melaka bagi memperhalusi strategi baharu dalam menjana sokongan rakyat,” katanya.
Azmin berkata, Bilik Gerakan Utama Bersatu akan dilengkapi teknologi moden serta sistem operasi pilihan raya digital menggunakan platform Siber yang akan mula beroperasi pada 1 Jun ini bagi memperkukuh persiapan menghadapi pilihan raya.
Katanya, pengauditan dan penaziran kerja lapangan melalui aplikasi NADI yang diketuai Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan digerakkan secara meluas ke kawasan tumpuan Bersatu bermula hari ini.
“MPT turut menyokong usaha Penerangan Bersatu yang diterajui Datuk Tun Faisal Ismail Aziz untuk mempergiat program komunikasi strategik melalui media dan media sosial bagi memperkukuh imej Bersatu sebagai parti sederhana, progresif dan prihatin terhadap rakyat.
“Pada masa sama, mesyuarat turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN).
“Bersatu yakin keharmonian dan kesatuan yang kukuh dalam gabungan itu mampu meningkatkan keyakinan rakyat untuk bersama PN pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, MPT melantik Muhammad Hilman Idham sebagai wakil Bersatu dalam Majlis Tertinggi PN.
Katanya, pelantikan itu sebagai tokoh dan pemimpin muda yang diyakini mampu membawa kesegaran serta kecerdasan baharu dalam kepimpinan gabungan berkenaan.
“MPT turut meneliti Laporan Jawatankuasa Petugas Khas Penyusunan Semula Bahagian dan bersetuju mengesahkan pelantikan Abdul Azim Mohd Zabidi sebagai Ketua Bahagian Lembah Pantai serta Safian Mohd Yunus sebagai Ketua Bahagian Bandar Tun Razak,” katanya. – UTUSAN










