KUALA LUMPUR: Isu kelewatan penyelesaian kes di mahkamah syariah akan diberi perhatian menerusi pelbagai usaha penambahbaikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, pelbagai langkah telah dilaksanakan sebelum ini bagi memperkukuh sistem perundangan itu namun usaha berkenaan akan terus dipertingkat dari semasa ke semasa.
Katanya, kerajaan memahami isu tersebut amat penting dan memerlukan kerjasama semua pihak berkepentingan supaya penyelesaian lebih berkesan dapat dicapai.
“Kita akan perkukuhkan lagi untuk menangani isu ini. Kita faham bahawa isu ini merupakan isu yang sangat penting.
“Semua pihak berkepentingan perlu duduk semeja untuk memastikan perkara ini dapat ditangani dengan lebih baik dan dapat membantu masyarakat dari segi aspek-aspek secara keseluruhan,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Konvokesyen Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) Ke-32, di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan tuntutan harta sepencarian selepas bercerai yang tertangguh lebih 10 tahun merupakan antara dilema dialami umat Islam di negara ini berikutan penangguhan kes di mahkamah syariah.
Isu kelewatan penyelesaian kes di mahkamah syariah bukan perkara baharu khususnya melibatkan tuntutan harta sepencarian, hak penjagaan anak dan nafkah. – UTUSAN










