Alga berkurang punca pantai di PD jernih

Alga berkurang punca pantai di PD jernih

SEORANG pengunjung di Pantai Telok Kemang bersantai menikmati kejernihan pantai tersebut baru-baru ini. UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kebelakangan ini tular di media sosial berkaitan keadaan kejernihan air laut di beberapa pantai di daerah ini termasuk di Pantai Telok Kemang.

Keadaan air yang jernih berbanding sebelum ini menimbulkan tanda tanya dan menarik perhatian sehingga menarik kehadiran ramai pengunjung ke pantai-pantai tersebut.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Abdul Aziz Parmin berkata, berdasarkan data pemantauan, indeks kualiti air laut di Pantai Telok Kemang kini berada pada paras baik berbanding Januari tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan itu berkemungkinan disumbangkan oleh tahap pematuhan yang semakin baik khususnya membabitkan pelepasan kumbahan.

“Antara faktor yang mungkin menyumbang ialah pengurangan pelepasan kumbahan yang boleh menjadi nutrien kepada alga sehingga menyebabkan pertumbuhan alga secara berlebihan.

“Apabila pertumbuhan alga berkurangan, laut akan kelihatan lebih jernih dan kurang keruh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya sehubungan itu, JAS akan mempertingkatkan tahap penguatkuasaan terhadap premis-premis bermasalah bagi memastikan pematuhan berterusan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).

Katanya, pihaknya turut menyasarkan penambahan bilangan stesen yang mencatatkan bacaan baik untuk kualiti air laut setiap tahun.

“Negeri Sembilan setakat ini mempunya 18 stesen pemantauan kualiti air laut dan setiap stesen mempunyai objektif pengawasan tersendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang (PNKTK), Redzuan Tasrif ,55, berkata, faktor geografi kawasan pantai itu turut memainkan peranan dalam kejernihan air laut.

Katanya, dasar laut di kawasan Telok Kemang yang berbatu karang dan berpasir menyebabkan air tidak mudah menjadi keruh kerana tidak mempunyai banyak lumpur.

“Kalau air laut kecil dan tidak berlaku ombak besar atau ribut kuat, air memang akan nampak lebih jernih.

“Telok Kemang juga bukan kawasan berlumpur, jadi keadaan air lebih mudah kekal bersih,” katanya.

Menurutnya, keadaan air laut sebelum ini mungkin dipengaruhi beberapa faktor termasuk kapal berlabuh, tiupan angin kuat dari arah barat selain aktiviti penghantaran arang batu dan minyak di kawasan perairan berhampiran.

Katanya, aktiviti menyedut pasir di luar persisiran pantai Telok Kemang yang pernah dijalankan sebelum ini juga dipercayai telah dihentikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN