AS, China sepakat tolak bayaran 'tol' di Selat Hormuz

AS, China sepakat tolak bayaran ‘tol’ di Selat Hormuz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) dan China bersetuju tiada mana-mana negara boleh mengenakan bayaran laluan perkapalan di Selat Hormuz, menurut Jabatan Negara AS kepada Reuters pada Selasa.

Kenyataan itu dilihat sebagai petanda kedua-dua negara cuba mencari titik persamaan dalam usaha menekan Iran supaya melepaskan kawalan ke atas laluan perairan strategik berkenaan.

Menurut Jabatan Negara AS, perkara itu dibangkitkan menjelang sidang kemuncak berprofil tinggi antara Presiden AS, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping minggu ini, dengan isu penguasaan Iran terhadap Selat Hormuz dijangka menjadi agenda utama perbincangan.

Penutupan hampir sepenuhnya laluan perdagangan penting itu oleh Iran sejak serangan udara AS-Israel ke atas negara itu pada 28 Februari lalu mengejutkan pasaran tenaga global.

Jabatan Negara AS berkata, Menteri Luar China, Wang Yi dan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio membincangkan isu itu dalam perbualan telefon pada April lalu.

“Mereka bersetuju tiada mana-mana negara atau organisasi boleh dibenarkan mengenakan bayaran untuk melalui laluan perairan antarabangsa seperti Selat Hormuz,” kata jurucakap jabatan itu, Tommy Pigott, kepada Reuters sebagai menjawab pertanyaan mengenai perbualan berkenaan.

Jabatan Negara AS sebelum ini tidak pernah mengeluarkan ringkasan rasmi mengenai perbualan itu, yang bertentangan daripada amalan kebiasaannya.

Kedutaan China tidak menafikan kenyataan AS mengenai perbincangan itu, sambil menyatakan harapan supaya semua pihak dapat bekerjasama untuk memulihkan semula laluan perkapalan normal di selat berkenaan yang sebelum perang mengendalikan satu perlima bekalan minyak dan gas dunia.

“Mengekalkan kawasan itu selamat dan stabil serta memastikan laluan pelayaran tidak terganggu adalah demi kepentingan bersama masyarakat antarabangsa,” kata jurucakap kedutaan China, Liu Pengyu, kepada Reuters.

Teheran menuntut hak untuk mengenakan bayaran terhadap trafik perkapalan sebagai syarat menamatkan perang.

AS pula mengenakan sekatan laut terhadap Iran, manakala Trump sebelum ini membayangkan kemungkinan Washington mengenakan bayaran sendiri terhadap kapal yang melalui selat itu atau bekerjasama dengan Iran untuk mengutip caj berkenaan.

Bagaimanapun, selepas menerima bantahan dalam dan luar negara, Rumah Putih kemudian menegaskan Trump mahu Selat Hormuz dibuka semula kepada trafik perkapalan tanpa sebarang sekatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN