Kerajaan serah pihak berkuasa siasat ucapan Nik Muhammad Zawawi

Kerajaan serah pihak berkuasa siasat ucapan Nik Muhammad Zawawi

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan menyerahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW ketika program ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata isu berkenaan dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan tindakan Ahli Parlimen Pasir Puteh itu sama sekali tidak boleh diterima.

Bagaimanapun, katanya, pihak kerajaan menyerahkan kepada pihak berkuasa, termasuk polis dan pihak berkuasa agama untuk menyiasat perkara itu.

“Jemaah Menteri dimaklumkan terdapat sejumlah laporan polis yang sudah dan sedang dibuat, maka kita serah kepada pihak berkuasa, terutama mungkin majlis atau jabatan agama berkaitan untuk melakukan siasatan.

“Bagaimanapun, sehingga sekarang, respon dalam media sosial itu sangat panas mengenai isu ini dan kita faham,” katanya semasa sidang akhbar mingguan Menteri Komunikasi di sini hari ini.

Terdahulu, Nik Muhammad Zawawi memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau yang mengaitkan sahabat Nabi Muhammad SAW dengan istilah ‘bapa ceti’ dan ‘kaki zina’ dalam program ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian sehingga mencetuskan kontroversi dan menyinggung perasaan pelbagai pihak.

“Saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut. Saya sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan oleh Allah SWT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN