Kerajaan Johor peneraju pusat data rendah karbon, teknologi CODE+ - MOSTI

Kerajaan Johor peneraju pusat data rendah karbon, teknologi CODE+ – MOSTI

Asher (depan, kanan) menerima sijil pengiktirafan diberikan kepada PDG daripada Roger Heng (depan, kiri) sempena majlis pemeteraian MoU antara PDG dan IDC Global Holdings Sdn Bhd di kampus Sedenak, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BHARU: Johor terus memperkukuh kedudukannya sebagai negeri hijau dan hab pembangunan digital mampan negara apabila menjadi negeri pertama melaksanakan teknologi CODE+ dalam pembangunan pusat data berskala besar, sekali gus menyokong agenda pembangunan rendah karbon dan ekonomi digital Malaysia.

Pelaksanaan teknologi itu diumumkan sempena pelancaran Pusat Kecemerlangan (COE) oleh Princeton Digital Group (PDG) di kampus Sedenak pada 23 April lalu.

Majlis berkenaan turut menyaksikan perasmian fasiliti pusat data hiperskala JH1 Fasa 4 dan Fasa 5 milik PDG serta pemeteraian kerjasama strategik antara sektor kerajaan dan industri bagi mempercepat penggunaan teknologi hijau dalam pembangunan infrastruktur digital negara.

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han yang mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad (NMB), Dr Rezal Khairi Ahmad; Ketua Pegawai Teknologi merangkap Pengarah Urusan PDG, Asher Ling dan Pengerusi IDC Global Holdings Sdn Bhd, Roger Heng.

Acara itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara PDG dan IDC Global Holdings Sdn Bhd bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan penyelesaian rendah karbon untuk sektor pusat data dan pembinaan infrastruktur di Malaysia.

Sebagai pelengkap kerjasama itu, dua Sijil Pengiktirafan turut disampaikan iaitu daripada NMB kepada IDC Global Holdings dan daripada IDC Global Holdings kepada PDG.

Pengiktirafan berkenaan mengesahkan kredibiliti CODE+, inovasi konkrit penyahkarbon berasaskan graphene yang dibangunkan secara tempatan, selain pengaplikasiannya oleh pengendali pusat data antarabangsa.

“CODE+ merupakan teknologi penyahkarbon proprietari berasaskan graphene pertama di dunia yang dibangunkan oleh saintis Malaysia bagi merevolusikan amalan pembinaan mampan.

“Direka untuk menyokong pematuhan ESG sambil menawarkan penjimatan kos yang signifikan, CODE+ memperkenalkan inovasi berimpak tinggi yang meningkatkan prestasi alam sekitar dan kecekapan operasi merentasi industri pembinaan,” menurut kenyataan tersebut.

Fasiliti PDG JH1 Fasa 4 dan Fasa 5 turut diiktiraf antara pembangunan pusat data hiperskala terawal di Malaysia yang menggunakan inovasi CODE+ dalam infrastruktur mereka bagi menyokong aspirasi neutral karbon negara menjelang 2030.

Lih Kang berkata, pertumbuhan ekonomi digital kini perlu diseimbangkan dengan komitmen terhadap pembangunan mampan dan bertanggungjawab.

“Persoalannya bukan lagi sejauh mana pantas kita berkembang, tetapi sejauh mana baiknya kita berkembang,” katanya.

Menurut beliau, peningkatan pembinaan pusat data berskala besar di rantau ini menjadikan pelepasan karbon daripada sektor pembinaan sebagai cabaran utama.

Katanya, pelepasan karbon daripada aktiviti pembinaan boleh menyumbang sehingga 30 hingga 40 peratus daripada keseluruhan pelepasan karbon sepanjang kitar hayat infrastruktur.

“Selain karbon, pusat data hiperskala turut berdepan cabaran berkaitan pengurusan haba, kecekapan tenaga dan air, ketahanan struktur terhadap gegaran serta risiko kualiti udara dan kebakaran sepanjang hayat bangunan,” katanya.

Beliau berkata, teknologi CODE+ yang mendapat sokongan kerajaan mampu menangani cabaran tersebut menerusi ciri bahan termaju yang membantu memanjangkan jangka hayat operasi pusat data, selain mengurangkan kos jangka panjang dan impak alam sekitar.

Lih Kang turut menegaskan kerjasama antara PDG dan IDC bukan lagi berada pada peringkat penyelidikan atau projek rintis, sebaliknya inovasi Malaysia kini sudah dilaksanakan dalam pusat data hiperskala dengan kesan pengurangan karbon yang boleh diukur.

Menurutnya, inovasi tempatan itu juga berpotensi dieksport ke peringkat serantau dan diperluaskan penggunaannya kepada sektor pengangkutan, pembangunan bandar serta fasiliti industri.

Dalam pada itu, pelancaran COE berkenaan dijangka mengukuhkan lagi peranan Johor sebagai pintu masuk strategik Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), selain menjadi platform perkongsian ilmu, pembangunan bakat dan kerjasama industri bagi menyediakan tenaga kerja masa depan ekonomi digital negara.

Kerjasama itu juga dilihat mampu memberi isyarat positif kepada industri pembinaan dan pembangunan supaya lebih banyak syarikat mengikuti langkah PDG dalam mengadaptasi teknologi CODE+, sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menggalakkan syarikat korporat menggunakan produk tempatan khususnya dalam sektor pembinaan, selain menyokong aspirasi neutral karbon Malaysia menjelang 2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN