MARANG: Penduduk sekitar Kampung Kelulut dan Taman Bukit Kemas di sini mendakwa terpaksa berdepan bau asap kuat dipercayai berpunca daripada kegiatan pembakaran terbuka yang berlaku sejak seminggu lalu sehingga menjejaskan keselesaan harian mereka.
Kejadian itu turut tular di media sosial apabila penduduk mempersoalkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa sengaja melakukan pembakaran hutan bagi tujuan pembangunan sehingga menjejaskan keselesaan penduduk.
Penduduk, Salina Hassan, 42, berkata, dia dan keluarganya mengalami simptom sakit dada, demam, batuk dan pedih mata akibat keadaan itu.
“Sudah seminggu kami bertahan dengan bau asap yang sangat kuat sampai sakit dada, demam, batuk dan pedih mata. Ini kali pertama berlaku dalam tempoh yang lama.
“Kegiatan pembakaran haram seperti ini perlu dipandang serius kerana ia menjejaskan kesihatan penduduk sekitar,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.
Salina berkata, dia dimaklumkan Jabatan Alam Sekitar telah turun melakukan siasatan pada Rabu lalu dan mengenal pasti lokasi yang dipercayai menjadi punca pembakaran, termasuk mendapatkan koordinat kawasan terbabit.
Bagaimanapun, pembakaran dipercayai masih berlaku apabila bau asap masih dapat dihidu terutama pada waktu malam hingga awal pagi.
“Kami tertanya-tanya mengapa pembakaran. Kami hanya mahu hidup dalam persekitaran yang sihat, tetapi keadaan ini sangat tidak elok,” katanya.
Pihak berkaitan termasuk jawatankuasa kampung perlu memainkan peranan memantau kawasan berhampiran Bukit Kemas yang dipercayai menjadi lokasi pembakaran terbuka.
Nur Hawa Awang, 29, berkata, bau asap sangat kuat terutama pada lewat petang hingga keesokkan paginya.
“Bau asap hingga ke Rhu Muda. Pihak berkuasa kena siasat puncanya kerana situasi ini amat mengganggu,” katanya. – UTUSAN










