SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memantau kawasan terbuka di negeri ini bagi memastikan tiada mana-mana pihak melakukan pembakaran terbuka.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menitahkan pihak berkuasa mempertingkatkan rondaan ke atas kawasan terbuka di negara ini bagi membanteras aktiviti pembakaran terbuka.
“Kami (kerajaan Selangor) meminta semua agensi bertindak pantas jika berlaku sebarang kebakaran terbuka bagi mengelak situasi jerebu di negeri ini menjadi lebih buruk.
“Semua pejabat daerah dan agensi berkaitan juga diarahkan untuk bersiap siaga menghadapi keadaan jerebu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Buku Kanak-Kanak 2025, hari ini.
Utusan Malaysia pada semalam melaporkan Sultan Ibrahim menitahkan pihak berkuasa meningkatkan rondaan jika terdapat aktiviti pembakaran terbuka.
Titah Baginda, aktiviti kebakaran boleh menjejaskan kualiti negara sekaligus boleh mewujudkan keadaan jerebu.
Amirudin berkata lagi keadaan jerebu di Selangor bertambah baik dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) beberapa kawasan di negeri itu semakin rendah.
“Kebakaran di tiga kawasan iaitu di Kuala Kubu Bharu, Kajang dan Seri Gombak telah berjaya dikawal. Cumanya, kawasan kebakaran di Kuala Kubu Bharu, kami masih pantau.
“Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin dan Unit Bencana Negeri juga diminta untuk memantau keadaan jerebu di Selangor setiap hari,” jelas.
Sementara itu, mengulas mengenai Pesta Buku Kanak-Kanak 2025, Amirudin memberitahu, beliau menyasarkan kira-kira 80,000 pengunjung hadir program berkenaan yang menawarkan pelbagai jenis buku kanak-kanak menerusi 160 reruai daripada beberapa syarikat penerbit. – UTUSAN










