KUALA LANGAT: Lebih 40,000 penduduk di negeri ini khususnya di Sijangkang dan Telok Panglima Garang terdedah kepada kesan pembakaran terbuka yang berlaku secara berleluasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila asap tebal daripada kebakaran tersebut memberi kesan serius kepada kanak-kanak, termasuk batuk berpanjangan, sesak nafas, demam serta hidung berdarah.
Masalah itu dilaporkan berlaku hampir setiap hari sejak tiga tahun lalu, terutama di kawasan perumahan Rimbayu, khususnya pada waktu petang dan ketika cuaca panas.
Selain golongan kanak-kanak, warga emas turut terjejas apabila ramai dalam kalangan mereka mengalami batuk kronik dan kesukaran bernafas akibat pencemaran udara yang berulang setiap tahun.
Seorang penduduk, Mei Fang, 37, dari Parque Residence berkata, anaknya antara yang kerap mengalami masalah hidung berdarah akibat pencemaran udara tersebut.
“Hampir setiap hari kami menghidu bau asap. Anak saya paling teruk apabila hidung berdarah hampir setiap hari sehingga kami kerap mendapatkan rawatan di klinik.
“Doktor juga memaklumkan saya turut terkesan apabila mengalami bengkak dalam hidung akibat terlalu kerap menghidu asap daripada kebakaran itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, wakil penduduk di Cheria Residence, Alex, 44, mendakwa laporan dan aduan pernah dihantar kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Bomba dan
Penyelamat Malaysia (Selangor), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
“Tinjauan saya mendapati kebakaran berlaku di merata tempat sekurang-kurangnya lima kawasan sekitar Teluk Panglima Garang, Sijangkang dan kawasan kebun di Johan Setia.
“Kesemua bukti dan koordinat lokasi kebakaran dihantar kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. Cuma ia seolah-olah tidak selesai, malah kelihatan trak bomba kerap kali datang untuk memadam kebakaran. Secara peribadi saya katakan ia berlaku sejak 2024. Justeru, sampai bila kami harus hadapi situasi tidak sihat ini,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di lokasi yang dikenal pasti penduduk mendapati tiga kawasan utama menjadi punca kebakaran iaitu kebun sayur, belukar serta tapak pembuangan sampah haram.
Kesemua lokasi tersebut terletak di sepanjang Jalan Sijangkang Utama dengan jarak antara 500 meter hingga satu kilometer, merentasi Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
Lebih mengejutkan, satu kawasan seluas lebih 0.4 hektar dikesan dijadikan tapak pelupusan sampah haram yang menempatkan sisa domestik, industri serta bahan binaan.
Selain itu, sebuah premis kitar semula dipercayai beroperasi tanpa lesen turut ditemui di lorong bertentangan Jalan Puyuh.
Turut kelihatan sebuah jentera bomba ditempatkan di salah satu lorong di kawasan berkenaan bagi memadam kebakaran hutan yang disyaki berpunca daripada pembakaran longgokan sampah haram.
Seorang penduduk di Sijangkang yang enggan identitinya didedahkan berkata, kawasan hutan di Telok Panglima Garang itu sudah bertahun-tahun dijadikan tapak pelupusan sampah haram yang bermula dengan aktiviti penempatan tanah kotor untuk menambak tanah gambut.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 30-an yang merupakan pemilik kebun kacang bendi di Johan Setia mendakwa pembakaran kerap berlaku di kawasan berkenaan bagi tujuan pembersihan tanah sebelum tanaman baharu dibuat.
“Sudah beberapa hari juga kawasan sebelah terbakar. Dahulu mereka tanam ubi, tak tahu nanti hendak tanam apa pula,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima aduan kebakaran di sana sejak Rabu minggu lepas melibatkan beberapa kawasan seluas lebih dua hektar.
“Kebakaran dipercayai berpunca daripada api yang merebak dari tapak pelupusan sampah ke kawasan hutan. Operasi pemadamannya pula mengambil masa kerana kawasan yang terlibat adalah tanah gambut.
“Sehingga kelmarin, kebakaran masih berbaki kira-kira 0.6 hektar. Operasi kemudian ditangguhkan dan diteruskan pada pagi semalam. Sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang digerakkan dan dibantu oleh BBP Sri Andalas,” katanya. – UTUSAN










