Kedah rekod 108 aduan pembakaran terbuka

Kedah rekod 108 aduan pembakaran terbuka

JAS memandang serius isu pembakaran terbuka itu terutama ketika musim panas dan kemarau yang melanda Kedah ketika ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menerima 108 aduan pembakaran terbuka sepanjang tahun ini dengan kadar tertinggi di Sungai Petani, Kota Setar dan Kulim.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, aduan terbaharu melibatkan kawasan skim pertanian di Kuala Nerang, Padang Terap kelmarin yang mengakibatkan kebakaran di kawasan sekitar.

“Ia melibatkan kebakaran kayu-kayu yang dibersihkan dan JAS Kedah ingin mengingatkan bahawa perkara ini tidak dibenarkan kerana ia mengakibatkan kebakaran merebak meluas. Namun dalam kes ini pihak bomba berjaya mengawal api yang merebak itu dengan pantas.

“JAS Kedah akan meningkatkan rondaan pencegahan pembakaran terbuka bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi. Untuk kejadian ini kita akan ambil tindakan kompaun terhadap mereka terlibat,” katanya pada Majlis Iftar Bersama Media di sini malam tadi.

Beliau menegaskan, pihaknya memandang serius isu pembakaran terbuka itu terutama ketika musim panas dan kemarau yang melanda Kedah ketika ini.

“Pembakaran terbuka tidak dibenarkan terutama di kawasan pertanian dan penempatan. Tindakan kompaun akan diambil di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

“Mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun. Kita dapati kebanyakan pembakaran terbuka ini dilakukan oleh penduduk setempat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN