SHAH ALAM: Graduan Management and Science University (MSU) perlu bersedia dengan kemahiran tambahan bagi menyesuaikan diri dengan realiti pekerjaan.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, peralihan daripada dunia kampus kepada realiti merupakan fasa kritikal yang sarat peluang tetapi mencabar.
Baginda yang juga Canselor MSU, bertitah, persaingan sengit dan kemahiran teknikal kini banyak diambil alih teknologi kecerdasan buatan (AI), justeru, kemahiran insaniah seperti komunikasi, keupayaan beradaptasi, berfikir secara kritis dan prihatin amat bernilai.
“Graduan perlu bersedia dengan pelbagai kemahiran tambahan walaupun cemerlang dalam akademik bagi menyesuaikan diri menghadapi dunia realiti pekerjaan,” titah baginda sempena Majlis Konvokesyen MSU ke-37 di Dewan Canselor MSU di sini, semalam. Turut hadir, Presiden dan Pengasas MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid; Pro Canselor, Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Zaini Ujang dan Naib Canselornya, Prof. Puan Sri Dr. Junainah Abd. Hamid.
Seramai 1,879 graduan daripada 120 program menerima skrol pengajian pada majlis ini.
Tengku Sarafudin bertitah, graduan memerlukan daya tahan mental tinggi dan perlu aktif membina jaringan profesional industri.
“Banyak peluang menanti seperti sektor ekonomi digital dan Industrial Revolution (IR 4.0) yang menawarkan permintaan tinggi terhadap AI, kemahiran analitik data dan pemasaran digital.
“Graduan dinasihatkan menimba lebih banyak pengalaman hands-on dan meneroka bidang baharu yang berkembang pesat iaitu ekonomi hijau dan industri kreatif,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada MSU yang meraih pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk ranking ke-17 universiti terbaik rantau ini menerusi Times Higher Education (THE) South-East Asia Rankings.
“MSU juga di ranking ke-597 dunia dalam QS World University Rankings 2026, selain mencatat kedudukan membanggakan dalam QS World University Rankings (WUR) by Subject 2026.
“Kajian pengesanan graduan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), MSU turut mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sehingga 99.7 % dengan 99.9 % berjaya mendapat pekerjaan,” titah baginda. – UTUSAN










