Kerajaan fokus sistem agihan subsidi lebih mudah, berkesan

Kerajaan fokus sistem agihan subsidi lebih mudah, berkesan

ANTHONY Loke Siew Fook (kiri) ketika hadir merasmikan Malaysia Commercial Vehicle Expo (MCVE) 2026, di sini, semalam. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Pelaksanaan dasar BUDI95 akan terus berpaksikan kepada prinsip sistem yang paling mudah, langsung dan berkesan dalam pengagihan subsidi, termasuk bagi pengguna kenderaan komersial.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya sedang memperhalusi pendekatan bagi memastikan kenderaan komersial turut diberi perhatian dalam struktur subsidi, termasuk kumpulan T20 yang masih dianggap memerlukan akses tertentu di bawah mekanisme sedia ada.

Katanya, dasar ini tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara setakat ini, memandangkan pendekatan subsidi dan rasionalisasi telah lama dibincangkan, namun tumpuan utama kekal kepada reka bentuk mekanisme yang paling sesuai dan mudah dilaksanakan.

“Prinsip BUDI95 adalah untuk memastikan sistem yang paling ringkas dan mudah, di mana rakyat Malaysia boleh menikmati subsidi dalam persekitaran yang terkawal dengan kuantiti yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita sempena Pameran Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2026 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) di sini.

Beliau menjawab soalan mengenai kenyataan dua Ahli Parlimen DAP agar kerajaan tidak tergesa-gesa menarik subsidi minyak terhadap golongan berpendapatan tinggi termasuk T20.

Menurut Anthony, proses pelaksanaan BUDI95 telah dipermudah secara menyeluruh dengan persetujuan Jemaah Menteri, yang secara umumnya bersetuju bahawa sistem subsidi perlu kekal mudah dan tidak membebankan pengguna.

Dalam masa sama, Anthony berkata, tiada cadangan untuk memotong subsidi bagi kumpulan berpendapatan tinggi (T20) pada masa ini.

“Sebab itulah keadaan masih kekal status quo pada masa ini.

“Tiada perubahan, kerana seperti yang saya jelaskan dua hari lalu, kerajaan sentiasa bercakap tentang penyelarasan subsidi.

“Namun perkara paling penting ialah mencari mekanisme yang terbaik. Prinsip di sebalik dasar BUDI 95 kerajaan adalah untuk memastikan sistem itu semudah dan secekap mungkin serta bersifat terus kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan mengakui tiada sistem subsidi yang mampu meliputi 100 peratus semua pengguna atau senario penggunaan, termasuk segmen tertentu seperti operasi trak dan kenderaan berat yang mempunyai corak penggunaan diesel yang berbeza.

“Sehubungan itu, sebahagian besar pengguna industri dan komersial masih berada dalam liputan sistem sedia ada, bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan dan aktiviti ekonomi negara terus terjamin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN