PETALING JAYA: NEXTDC melancarkan KL1 Kuala Lumpur di Malaysia sebagai pusat data antarabangsa pertamanya di Asia Tenggara, sekali gus mewakili pelaburan jangka panjang bernilai AUD$1 bilion (RM2.8 bilion) dalam pembangunan ekonomi digital negara.
KL1 Kuala Lumpur direka dengan kapasiti teknologi maklumat (IT) 65 megawatt (MW) berasaskan reka bentuk Tier IV NEXTDC, sekali gus menjadi platform strategik menyokong pertumbuhan pesat AI, pengkomputeran awan dan perkhidmatan digital di Asia Tenggara.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelancaran fasiliti KL1 NEXTDC merupakan pencapaian penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab digital utama Asia Tenggara serta pemacu ekonomi AI serantau.
“Ketika negara bergerak ke arah AI Nation 2030, fasiliti seperti KL1 amat penting bagi menyediakan daya tahan, keselamatan dan skala yang diperlukan untuk inovasi generasi baharu berasaskan pengkomputeran awan.
“Pelaburan RM2.8 bilion ini bukan sahaja mengukuhkan keyakinan pelabur global terhadap ekosistem digital negara, malah memastikan Malaysia terus berada di barisan hadapan rantaian nilai global,” katanya pada Majlis Pelancaran KL1 Kuala Lumpur di sini semalam.
Beliau berkata, Kementerian Digital kekal komited menyokong kerjasama strategik seumpama itu yang mampu menjadi pemangkin kepada penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, pembangunan bakat digital dan pertumbuhan ekonomi mampan.
KL1 Kuala Lumpur dijangka menjadi pusat data pertama di Semenanjung Malaysia menerima pensijilan Tier IV daripada Uptime Institute, sekali gus menyokong persekitaran berkepadatan tinggi serta operasi tanpa henti yang diperlukan bagi AI dan beban kerja digital termaju.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, sejak majlis pecah tanah pada 9 Jun 2023, NEXTDC berjaya merealisasikan KL1 Kuala Lumpur dalam tempoh kurang tiga tahun sebagai pusat data Tier IV pertama di Malaysia yang terletak di tengah-tengah Petaling Jaya.
“Sebagai bandar satelit terancang pertama Malaysia pada awal 1950-an, ini menandakan lembaran baharu buat Petaling Jaya dan meletakkan bandar raya ini di peta global AI.
“Ia membuka peluang kepada syarikat berskala besar, institusi kewangan, industri kritikal dan operasi kerajaan untuk memaksimumkan potensi yang ditawarkan pusat data ini kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan NEXTDC, Craig Scroggie berkata, pelancaran itu mencerminkan perubahan struktur dalam pembangunan dan pelaksanaan infrastruktur digital di seluruh dunia.
“KL1 Kuala Lumpur dibina khusus bagi memenuhi keperluan pasaran dengan menyediakan persekitaran berprestasi tinggi dan bersedia untuk kedaulatan data, sekali gus membolehkan pelanggan mengendalikan beban kerja pengkomputeran generasi baharu dengan yakin.
“Ia bukan sekadar kemasukan ke pasaran baharu, tetapi usaha NEXTDC membangunkan platform infrastruktur di lokasi pelanggan perlu beroperasi, berhubung dan berkembang dalam ekonomi AI,” katanya.
Beliau berkata, NEXTDC turut merancang pembangunan KL2 Kuala Lumpur dan kini sedang menilai beberapa lokasi berpotensi.
“Pengumuman mengenainya dijangka dibuat dalam tempoh enam bulan akan datang, melibatkan pelaburan bernilai multi-bilion dolar Australia bagi fasa seterusnya,” katanya. –UTUSAN










