SHAH ALAM: Pembangunan pusat data baharu di Selangor perlu menggunakan air dikitar semula atau memproses sumber mentah ke tahap bersesuaian yang dengan tahap diperlukan bagi sistem penyejukan.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, ia sebagai langkah yang diambil oleh kerajaan negeri bagi memastikan kelestarian air di Selangor dan tidak mengganggu bekalan konvensional kepada pengguna.
“Memang betul keperluan air bagi pusat data sangat tinggi. Tetapi, kita juga harus bezakan air yang diperlukan untuk pusat data dan minuman. Untuk pusat data tidak semestinya memerlukan air yang berkualiti seperti minuman.
“Jadi, untuk pusat data baharu selain daripada kita menekankan seperti power and water usage effectiveness, kita juga menggalakkan untuk kitar semula air yang digunakan dan juga menggunakan kaedah lain seperti mengambil air mentah untuk proses bagi kesesuaian kegunaan pusat data,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026 di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) yang membangkitkan kebimbangan terhadap penggunaan air bagi pusat data dan dalam masa sama keperluan terhadap sumber air bersih di Selangor adalah tinggi.
Menurutnya, pusat data perlu mempunyai pelan sumber air tersendiri bagi mengelakkan persaingan dengan penggunaan air domestik di negeri ini.
“Ini disebabkan, contohnya untuk menjana satu jawapan daripada Gemini atau ChatGPT, ia menggunakan lapan botol, air, jadi boleh bayangkan di Selangor kegunaan air juga adalah tinggi.
“Difahamkan juga, bahawa kualiti air yang digunakan untuk pusat data adalah lain berbanding keperluan manusia. Jadi, dengan keadaan di mana contohnya air di Selangor pada saya tidak sepatutnya untuk pusat data tidak sepatutnya bersaing dengan keperluan kegunaan manusia,” ujarnya. – UTUSAN










