PARLIMEN: Kerajaan sekat pusat data bukan AI, elak tekanan bekalan

PARLIMEN: Kerajaan sekat pusat data bukan AI, elak tekanan bekalan

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengehadkan kemasukan pusat data baharu yang tidak mempunyai kaitan dengan pembangunan kecerdasan buatan (AI) bagi mengawal peningkatan penggunaan tenaga dan air.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kawalan itu dilaksanakan sejak hampir dua tahun lalu bagi memastikan pertumbuhan sektor digital tidak memberi tekanan berlebihan terhadap bekalan utiliti negara.

Katanya, hanya projek yang membawa nilai tambah teknologi tinggi serta berkaitan AI diberi pertimbangan, manakala permohonan baharu yang sekadar memanfaatkan kadar air dan elektrik lebih rendah telah dihentikan.

“Penggunaan tenaga dan air itu memang melonjak sebab itu sejak hampir dua tahun yang lalu kita telah mengehadkan kemasukan pusat data yang baharu, yang tidak ada kaitan dengan AI.

“Kalau ada manfaat dari sudut penambahan teknologi tinggi dan AI itu mudah diluluskan.

“Semua permohonan baharu yang tidak ada kaitan, hanya kerana menggunakan kemudahan air yang lebih murah dan harga tenaga yang lebih murah itu sudah pun dihentikan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berhubung implikasi Rang Undang-undang (RUU) Tadbir Urus AI terhadap keperluan elektrik dan sumber air serta langkah menjamin ketersediaannya kepada pengguna domestik.

Tambahnya, setakat unjuran semasa bekalan tenaga dan air masih mampu menampung permintaan dalam tempoh terdekat, namun kerajaan terus memantau keadaan bagi menjamin keperluan pengguna domestik kekal terpelihara.

“Sama ada ia dapat memenuhi, kalau setakat satu dua tahun keperluan ini, memang mencukupi tetapi saya ambil perhatian gesaan itu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN