TEHERAN/WASHINGTON: Iran masih menguasai Selat Hormuz dengan bahagian baratnya dikawal oleh pasukan tentera laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) selepas Amerika Syarikat (AS) bersama Israel melancarkan serangan ke negara itu pada 28 Februari lalu.
Menurut jurucakap tentera Iran, Mohammad Akraminia, bahagian timur selat tersebut yang merupakan laluan utama minyak dan gas kini berada di bawah pengawasan tentera laut negaranya
Tentera Iran mendakwa kawalan Teheran ke atas Selat Hormuz mampu menjana pendapatan ekonomi yang besar, berpotensi menggandakan hasil minyak dan mengukuhkan kedudukan antarabangsa negara itu.
Kawalan Iran ke atas laluan perairan strategik itu terus menjadi isu utama dalam rundingan dengan AS yang setakat ini masih belum mencapai sebarang kejayaan besar.
Pada Rabu, Ketua Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen Iran, Ebrahim Azizi berkata, jawatankuasa beliau telah memuktamadkan pelan berkaitan selat tersebut.
“Iran berhasrat menggunakan kedudukan strategik ini sebagai alat kuasa menerusi pengurusan strategik Selat Hormuz,” katanya menurut televisyen negara.
Bulan lalu, Timbalan Speaker Parlimen Iran, Hamidreza Hajibabaei memaklumkan Teheran menerima hasil pertama daripada kutipan tol ke atas kapal yang melalui selat itu.
Iran sebahagian besarnya menyekat pelayaran melalui Selat Hormuz sejak tercetusnya perang dengan AS dan Israel.
Penguasaan Iran ke atas laluan perairan tersebut menggugat pasaran global dan memberi Teheran pengaruh besar manakala AS turut mengenakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran walaupun gencatan senjata rapuh masih berkuat kuasa sejak 8 April.
SEDIA SAMBUNG PERANG
Institut Kajian Perang (ISW) berpendapat Iran berkemungkinan sedang membuat persiapan untuk menyambung semula konflik dengan AS dan Israel. Institut itu membuat dakwaan tersebut selepas Teheran melancarkan latihan ketenteraan dan menempatkan semula aset selepas muncul laporan bahawa Iran masih memiliki sejumlah besar stok peluru berpandu.
Institut berpangkalan di Washington itu dalam penilaian pada Selasa berkata, rejim Iran dilihat menganggap persiapan menghadapi peperangan baharu tidak dapat dipisahkan daripada persediaan mengekang kebangkitan dalaman.
Unit Mohammad Rasoul Ollah di bawah IRGC di wilayah Teheran melakukan latihan ketenteraan pada Selasa.
Ia merupakan salah satu bahagian keselamatan dalaman utama rejim dan komando IRGC yang bertanggungjawab terhadap keselamatan ibu negara Iran.
IRGC mengesahkan mereka mengadakan latihan bagi menghadapi sebarang pergerakan musuh, menurut media kerajaan Iran. Secara berasingan, tentera Iran dijadual mengadakan latihan di Pelabuhan Mahshahr, kira-kira 100 kilometer dari Pulau Bubiyan.
Menurut ISW, tentera laut IRGC mungkin menggunakan latihan tersebut untuk membuat persiapan operasi baharu sekiranya gencatan senjata runtuh atau untuk menyuraikan kapal sebelum serangan disambung semula.
Institut itu turut menilai Teheran sedang cuba melindungi aset ketenteraan dengan memindahkannya ke negara yang dianggap tidak akan diserang AS.
Penilaian itu dibuat ketika muncul laporan sebahagian besar stok peluru berpandu Iran terselamat daripada kempen serangan udara AS-Israel dengan anggaran sekitar 70 peratus daripada jumlah sebelum perang masih kekal.
Teheran juga dilaporkan berjaya memulihkan akses operasi sebanyak 30 daripada 33 tapak peluru berpandu di sepanjang Selat Hormuz, menurut penilaian tentera AS yang diterbitkan New York Times pada Isnin.
ENGGAN BERKOMPROMI
Sementara itu, IRGC dilaporkan sedang mengukuhkan pengaruh dalam struktur kuasa dalaman Iran di bawah pimpinan Komander IRGC, Ahmad Vahidi ketika rundingan damai masih menemui jalan buntu.
Teheran menyatakan ia tidak akan berunding tanpa jaminan terhadap serangan ketenteraan pada masa depan, termasuk pengiktirafan kedaulatannya ke atas Selat Hormuz.
Presiden AS, Donald Trump, pada Isnin menyifatkan gencatan senjata itu bergantung kepada ‘talian hayat besar’ dengan hanya ‘satu peratus peluang’ untuk bertahan.
Menurut ISW, usaha konsisten Teheran mendapatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kedaulatannya ke atas selat itu merupakan alat pencegahan paling penting bagi Iran dan memberi kesan besar terhadap perdagangan global, khususnya negara Teluk yang bergantung kepada laluan maritim.
Semalam, sebuah kapal berhampiran pantai Emiriah Arab Bersatu (UAE) dekat Selat Hormuz dilaporkan dirampas oleh individu tidak dikenali sebelum ia menuju ke perairan Iran, menurut agensi maritim Britain.
“Kapal tersebut diambil alih oleh (sekumpulan) individu ketika sedang berlabuh kira-kira 38 batu nautika atau sekitar 70 kilometer di timur laut Fujairah dan menuju ke perairan wilayah Iran,” menurut Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO).
Beberapa kapal telah diserang di sekitar laluan perairan strategik itu ketika Iran dan AS meneruskan sekatan maritim masing-masing.
Pada Ahad, Korea Selatan berkata, sebuah kapal kargo diserang pesawat tidak dikenali di Selat Hormuz, manakala Qatar melaporkan sebuah kapal barang yang memasuki perairannya dari Abu Dhabi turut terkena serangan dron. – AGENSI/AFP










