PUTRAJAYA: Kerajaan mengakui wujud kenaikan kos sara hidup dan harga barangan di pasaran tempatan susulan krisis tenaga global yang dihadapi ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedaya upaya akan mengurangkan beban rakyat khususnya dalam sektor tertentu meskipun kos yang ditanggung kerajaan bakal meningkat.
“Apakah saya nafikan bahawa ada permasalahan dari segi kos sara hidup dan harga barang? Saya tidak nafikan. Apakah ia harus ditangani dengan bijak? Ya. Apakah mampu kita bantu? Saya jawab sebahagiannya ya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, kata Anwar, isu kenaikan harga bekalan makanan dan peningkatan kos sara hidip termasuk keluhan peniaga akan dibawa dalam Mesyuarat Kabinet minggu ini.
“Saya sempat bertemu dengan peniaga makanan ketika makan tengah hari di Rawang pada Jumaat lalu.
“Dia (peniaga) kata tiap minggu ada kenaikan sedikit. Jadi kalau (berlaku kenaikan) tiga minggu sedikit demi sedikit, kedai itu akan terkesan. Jadi apa yang saya dengar daripada kakak ini, kedai kecil tentunya memberi kesan,” katanya.
Katanya, perkara yang dikongsi peniaga itu penting kerana ia mencerminkan realiti sebenar di lapangan, berbeza dengan laporan yang menunjukkan harga masih terkawal.
Sehubungan itu, katanya, beliau memaklumkan perkara tersebut perlu diteliti bagi memastikan langkah tambahan dapat diambil untuk mengurangkan beban peniaga kecil.
“Kalau benar tidak boleh kawal apakah langkah yang harus kita lakukan lagi untuk mengurangkan beban orang-orang seperti kakak ini yang meniaga kecil,” katanya.-UTUSAN










