Pelarasan perbelanjaan kerajaan: Pengambilan doktor, jururawat tidak terjejas - PM

Pelarasan perbelanjaan kerajaan: Pengambilan doktor, jururawat tidak terjejas – PM

ANWAR Ibrahim beramah mesra dengan warga NRESS di Putajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menjelaskan pengambilan doktor dan jururawat baharu tidak terjejas susulan penyusunan semula serta kajian semula perbelanjaan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sektor perubatan termasuk pembinaan klinik juga tidak terkesan, sebaliknya hanya skop pembinaan hospital mewah yang dikurangkan.

“Perubatan, pengambilan doktor baru, jururawat, itu tak terjejas, tak terkesan. Pembinaan klinik tak terkesan. Cuma skop hospital yang mewah itu dikurangkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bersama Warga Kementerian di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di sini, hari ini.

Anwar berkata, dalam sektor pendidikan pula, walaupun terdapat pengurangan peruntukan di peringkat kementerian, pembinaan bilik darjah dan kelas baharu bagi menampung kemasukan pelajar tetap diteruskan.

“Jadi ada orang yang agak cepat sangat memberi komen, dia kata bagaimana boleh tutup ataupun kurangkan perbelanjaan untuk sekolah, untuk hospital. Tidak,” katanya.

Beliau menjelaskan, langkah penjimatan yang dilaksanakan kerajaan tertumpu kepada perbelanjaan berlebihan termasuk penganjuran kursus serta majlis di luar negara dan hotel mewah.

“Jadi yang kita rasa berlebih perbelanjaan besar-besar bagi kursus-kursus berlebih-lebih sangat. Itu kalau kursus yang ada dalam negara, hantar dalam negara, tidak di luar negara.

“Kemudian, majlis-majlis di hotel-hotel mewah dihentikan, dibuat di kementerian. Kemudian skop pembinaan yang kadang-kadang melebih daripada keadaan biasa, itu dikurangkan,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Cadangan itu dilaporkan dibuat susulan keperluan menyemak semula perbelanjaan kerajaan, khususnya ketika beban subsidi dijangka meningkat dan memberi tekanan kepada kewangan negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN