KUALA LUMPUR: Kemasukan calon lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk mengikuti program tertentu di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dapat meningkatkan akses rakyat Malaysia kepada pendidikan tinggi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam memperluas peluang pendidikan kepada lepasan sistem di luar Kementerian Pendidikan (KPM).
Menurut Setiausaha Agung DAP itu, inisiatif tersebut bersifat inklusif kerana ia tidak hanya terhad kepada pemegang sijil UEC malah turut memberikan peluang yang sama kepada lepasan sekolah tahfiz.
“Ini komitmen kerajaan untuk memberikan laluan kepada lepasan sistem pendidikan di luar KPM untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA. Bukan UEC sahaja, sijil tahfiz pun dapat.
“Jadi, langkah ini sebenarnya menambah akses kepada rakyat Malaysia untuk mendapat pendidikan tinggi dan ia adalah sesuatu yang sangat baik untuk pembangunan modal insan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar peluncaran Stesen Keretapi Segambut Utara di ibu negara hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Semalam, media melaporkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan bahawa calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan UEC berpeluang mengikuti program tertentu di IPTA.
Menurut KPT, perkara itu dipersetujui dalam keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Sementara itu, Anthony Loke kesal terhadap tindakan pihak pembangkang yang cuba mempolitikkan usaha murni tersebut sehingga sanggup membantah perluasan akses pendidikan berkenaan.
“Saya pelik mengapa pembangkang bantah? Pembangkang ini seolah-olah membantah usaha rakyat mendapat akses pendidikan. Kita mahu mendidik anak-anak kita mendapat pendidikan yang lebih baik, tetapi mereka (pembangkang) hanya tahu membantah tanpa asas.
“Tindakan mereka itu secara tidak langsung menafikan hak anak-anak kita untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN










