Ketua polis negeri, daerah diarah giat periksa lokap - Utusan Malaysia

Ketua polis negeri, daerah diarah giat periksa lokap

MOHD. KHALID ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua ketua polis negeri dan daerah diarah untuk melakukan pemeriksaan di semua lokap bagi memastikan tahap keselamatan dan pemantauan berada pada tahap terbaik.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, arahan tersebut telah dikeluarkan kepada ketua polis daerah supaya pemeriksaan dilakukan dari semasa ke semasa.

Katanya, semua ketua polis negeri  juga mempunyai kuasa untuk melaksanakan pemeriksaan di lokap di bawah pentadbiran masing-masing.

“Kami sebenarnya sentiasa menjalankan siasatan dan operasi dan arahan saya kepada ketua polis daerah untuk memeriksa lokap-lokap dari masa ke semasa. 

“Secara keseluruhannya, kami melihat keadaan masih baik dan terkawal. Cuma dalam satu kes terbaharu, hasil siasatan mendapati berlaku sedikit kelompongan apabila beberapa bahan terlarang dijumpai di dalam lokap,”katanya semasa sidang akhbar di Bukit Aman di sini.

Terdahulu beliau mengesahkan kes penemuan pelbagai barangan terlarang termasuk dadah, telefon bimbit dan senjata tajam di sebuah sel lokap di Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Mohd. Khalid berkata, tindakan segera telah diambil dengan mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) menjalankan siasatan lanjut selain menggantung pegawai serta anggota yang terlibat.

Katanya, tindakan susulan turut dilaksanakan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan beberapa jabatan berkaitan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Saya telah mengingatkan semua KPD dan juga Ketua Polis Negeri supaya mengambil tindakan tegas dan keras terhadap isu-isu seumpama ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan pemeriksaan mengejut yang dijalankan JIPS Ibu Polis Kontinjen (IPK) Perak telah membongkar penemuan pelbagai barangan terlarang, termasuk dadah, telefon bimbit dan senjata tajam di dalam sebuah sel lokap.

Serbuan yang dijalankan pada Selasa lalu bermula pukul 9.30 malam hingga 3 pagi itu bertindak atas maklumat awam yang diterima pihak berkuasa.

Pemeriksaan yang tertumpu di lokap yang menempatkan empat orang Orang Kena Tahan (OKT) lelaki, membawa kepada penemuan awal sebuah telefon pintar jenis Vivo pada tubuh salah seorang tahanan.

Pemeriksaan lanjut di dalam sel yang disaksikan oleh semua OKT kemudiannya merungkai penemuan lebih mengejutkan.

Turut ditemukan sebuah kotak bertulis Fire Sens yang menyembunyikan 22 peket plastik lutsinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 4.23 gram serta satu peket disyaki methamphetamine seberat 1.6 gram.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti bagaimana pelbagai barangan terlarang termasuk dadah dan telefon bimbit boleh diseludup masuk ke dalam sel lokap balai polis berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN