Kegiatan proses kayu balak tanpa kelulusan tumpas, babit rampasan lebih RM4 juta - Utusan Malaysia

Kegiatan proses kayu balak tanpa kelulusan tumpas, babit rampasan lebih RM4 juta

LONGGOKAN kayu balak yang belum diproses antara yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Jeniang kerana beroperasi tanpa kelulusan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah. - IHSAN PGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis menumpaskan kegiatan pemprosesan kayu balak tanpa kelulusan selepas menyerbu sebuah premis di Jeniang, dekat sini menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), Isnin lalu.

Operasi kira-kira pukul 10 pagi itu dilaksanakan oleh Cawangan Risik Batalion 18, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Majlis Perbandaran Sik, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Sik.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an dipercayai pemilik premis turut ditahan untuk membantu siasatan.

“Pemeriksaan mendapati premis itu menjalankan aktiviti memproses kayu balak tanpa kelulusan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah sejak kira-kira setahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasukan serbuan turut menemukan pelbagai jentera dan mesin yang digunakan untuk memproses kayu balak selain longgokan kayu balak pelbagai saiz dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM4.34 juta.

Katanya, kayu-kayu diproses itu dipercayai dihantar ke sekitar Pulau Pinang bagi penghasilan produk. Kes diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dan disiasat mengikut Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 (Negeri Kedah) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27 enakmen sama.

“Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, Balveer Singh berkata, Briged Utara PGA akan terus mempergiat usaha risikan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti pemprosesan serta penyimpanan kayu balak tanpa lesen.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti sedemikian kerana ia boleh memberi kesan serius terhadap alam sekitar,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti berkenaan boleh menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Briged Utara PGA untuk tindakan segera.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN