SEPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa segala usaha sedang dilakukan bagi membebaskan segera rakyat Malaysia yang kini ditahan tentera zionis Israel.
Komitmen Perdana Menteri itu dikongsi Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby pada sidang akhbar hari ini.
Sani Araby berkata, beliau telah dihubungi Anwar Ibrahim pukul 7.55 pagi tadi sebelum berkongsi komitmen kerajaan terhadap rakyat Malaysia yang ditahan itu.
Menurutnya, Perdana Menteri memberi jaminan untuk memberi komitmen semaksima mungkin dan sedang mengetuai segala usaha bersama beberapa negara termasuk Turkiye.
“Kerajaan Malaysia akan menggunakan hubungan dua hala yang akrab serta telah berhubung rapat dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi mendesak pembebasan segera seluruh aktivis yang diculik.
“Kerajaan juga akan memastikan kesemua tahanan rakyat Malaysia selamat dan mengelakkan mereka daripada dipenjarakan di Penjara Ketziot,” katanya.
Katanya, Menteri Luar, Datuk Seri Muhammad Hassan bahawa Wisma Putra juga telah menggandakan usaha diplomatik bersama Turkiye serta beberapa negara lain untuk membuat persediaan wakil kedutaan di Istanbul, Aman dan Kaherah bagi
memastikan keselamatan dan pembebasan rakyat Malaysia.
Sani Araby berkata, pihaknya menegaskan insiden penculikan ini turut membangkitkan kemarahan dan kecaman antarabangsa termasuk kenyataan keras dikeluarkan beberapa negara terhadap tindakan tentera Israel itu.
“Ketika ini, beberapa demontrasi telah digerakkan di Itali, Turkiye, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia dan Portugal.
“Kami dimaklumkan organisasi antarabangsa juga turut mengecam tindakan pencerobohan dan penculikan terhadap aktivis flotilla kemanusiaan ini yang berlaku di perairan antarabangsa,” katanya.
Katanya, video tular memaparkan layanan keras fizikal terhadap tahanan GSF 2.0 di Pelabuhan Ashdod itu telah membuka mata dunia dan menyebabkan rakyat dunia bangkit.
Jelasnya lagi, pihaknya difahamkan Korea Selatan turut mengancam untuk membuat sekatan ekonomi kepada Israel.-UTUSAN










