PETALING JAYA: Proton e.MAS terus memperkasa pengalaman kenderaan elektrik (EV) yang lebih dekat dengan gaya hidup dengan edisi “The Real e.MAS Drive”, sebuah pemanduan EV oleh wanita.
Program ini memberi peluang kepada peserta wanita merasai pengalaman memandu Proton e.MAS 7 dan Proton e.MAS 7 PHEV, dengan fokus kepada kegunaan harian, kelancaran pemanduan serta kemudahan pengecasan.
Demonstrasi pengecasan pantas turut diadakan bagi menunjukkan kesederhanaan proses pengecasan dalam rutin harian, sekali gus menekankan kepraktisan pemilikan EV dalam kehidupan bandar.
Sambutan positif daripada edisi pertama tahun lalu mendorong penganjuran edisi kedua yang berlangsung sempena Bulan Kesihatan Wanita dengan tema “Zoom to Bloom,” yang menekankan kepentingan rehat dan pemulihan diri.
Program yang diadakan di Sentosa Janda Baik itu menggabungkan elemen pemanduan, kesihatan dan aktiviti kreatif untuk para peserta.
Ketua Pegawai Penjenamaan Pro-Net, Salawati Mohd. Yusoff berkata, penganjuran semula program ini mencerminkan perkembangan minat wanita terhadap kenderaan elektrik yang semakin meningkat di Malaysia.
“Perjalanan Proton e.MAS bersama pemandu wanita terus berkembang. Kami melihat minat yang semakin tinggi terhadap EV dalam kalangan wanita Malaysia, didorong keperluan mobiliti yang lebih praktikal, mudah diakses dan mudah digunakan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, tema “Zoom to Bloom” bertujuan menggalakkan wanita memberi ruang untuk berehat dan mengutamakan kesejahteraan diri, di samping memperkenalkan pengalaman EV secara lebih santai dan dekat dengan gaya hidup.
Program bermula di Proton Centre of Excellence (COE) sebelum peserta mengikuti laluan pemanduan santai melalui beberapa hentian terpilih yang menonjolkan penggunaan EV dalam situasi sebenar.
Di Janda Baik, peserta turut menyertai bengkel gubahan bunga berkonsepkan ikebana moden yang menekankan kreativiti serta ketenangan mental, selari dengan fokus Bulan Kesihatan Wanita.
Dari segi produk, model Proton e.MAS 7 PHEV menawarkan ruang but sehingga 528 liter yang boleh diperluaskan melebihi 2,000 liter, manakala Proton e.MAS 7 menampilkan kabin praktikal serta ruang simpanan fleksibel bagi kegunaan harian.
Dari segi harga, Proton e.MAS 7 ditawarkan bermula RM99,800 selepas rebat, manakala varian Proton e.MAS 7 PHEV ditawarkan pada harga RM105,800 selepas rebat.
Model ini turut dilengkapi ciri seperti paparan infotainmen 15.4 inci, sistem keselamatan ADAS Tahap 2 serta pengecasan pantas DC 100kW yang membolehkan pengecasan 30 peratus ke 80 peratus dalam tempoh sekitar 20 minit.
Seiring dengan perkembangan pasaran, Pro-Net berkata, jumlah pemilikan Proton e.MAS kini telah melebihi 20,000 unit dalam tempoh lebih setahun sejak pelancaran model pertamanya, disokong peluasan rangkaian pengedar, peningkatan perkhidmatan selepas jualan serta akses infrastruktur pengecasan yang lebih meluas di seluruh negara.
Program ini dilihat mengukuhkan lagi kedudukan Proton e.MAS dalam segmen EV tempatan, dengan pendekatan yang menekankan bukan sahaja teknologi, tetapi juga gaya hidup dan pengalaman pengguna. – UTUSAN










