Cubaan seludup ternakan korban gagal, Veterinar rampas 101 kambing - Utusan Malaysia

Cubaan seludup ternakan korban gagal, Veterinar rampas 101 kambing

JPV Perak merampas 101 ekor kambing dipercayai diseludup untuk ibadah korban dalam pemeriksaan di Hentian Sebelah Ladang Bikam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Cubaan menyeludup 101 ekor kambing bagi tujuan ibadah korban gagal, apabila lori yang membawa ternakan itu dikesan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak di Hentian Sebelah Ladang Bikam arah selatan hari ini.

Pengarahnya, Dr Saifullizam Abd. Kadir berkata, kenderaan itu ditahan sepasukan penguat kuasa menerusi Op Korban Tegas 2026 di lokasi berkenaan pada pukul 3.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen pemindahan yang sah.

“Tindakan mereka menutup keseluruhan bahagian belakang kenderaan menggunakan kanvas juga gagal mengaburi pihak penguat kuasa daripada membuat pemeriksaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memperkukuh kawalan pergerakan ternakan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM15,000 jika sabit kesalahan.

“Op Korban Tegas 2026 yang dilaksanakan sehingga hari perayaan bertujuan mengawal serta membanteras aktiviti pemindahan ternakan tanpa kebenaran sah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN