Maut lombong emas: Mohamad tidak sempat timang anak kelima

Maut lombong emas: Mohamad tidak sempat timang anak kelima

MAYAT dua lelaki yang tertimbus ketika melombong di bawa ke Unit Forensik Hospital Jeli, Kelantan untuk bedah siasat-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Hasrat seorang lelaki untuk menimang anak kelima tidak kesampaian apabila dia ditemukan maut tertimbus ketika sedang melombong emas di kawasan ladang sawit Kampung Jerimbong, Kuala Balah di sini, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu Mohamad Ali Akhbar, 38, ditemukan mati bersama seorang lagi mangsa Mohamad Noor Illyas Suhaisham, 32.

Menurut abang kepada Mohamad, Mohd. Zaki, 41, berkata, isteri kepada adiknya itu sedang sarat mengandung dan dijangka bersalin Ogos ini.

“Bayi yang bakal dilahirkan itu merupakan anak kelima arwah adik dan isteri. Ketika ini mereka mempunyai empat orang anak masing-masing berusia 12 hingga 2 tahun.

“Arwah merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik dimana dia bekerja mengambil upah membaja kelapa sawit dan menoreh getah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jeli di sini hari ini.

Mohd. Zaki memberitahu, kali terakhir dia berhubung dengan adiknya itu melalui panggilan telefon dua minggu lalu.

Katanya, sebaik sahaja menerima khabar duka itu dia terus bertolak pulang ke Jeli dari Kuantan, Pahang untuk menguruskan jenazah arwah adik.

“Isteri arwah adik, Ummi Mastura Mohd. Din, 30, mewakilkan saya untuk menguruskan jenazah arwah di sini. Saya dimaklumkan isteri arwah menangis dan terkejut dengan kejadian yang menimpa suaminya itu.

“Jenazah Mohamad akan dikebumikan di Kampung Bukit Jering di sini selepas selesai urusan bedah siasat,” ujarnya.

Terdahulu, dua lelaki dilaporkan maut tertimbus di dalam lubang yang digali mereka dipercayai untuk melombong emas di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong.

Seorang lagi mangsa terselamat dalam kejadian pukul 8.20 malam itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN