Kebersihan khemah Mina jadi identiti jemaah Malaysia

Kebersihan khemah Mina jadi identiti jemaah Malaysia

KEADAAN khemah jemaah Malaysia di Mina dalam keadaan kemas sebaik operasi masyair berakhir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Disiplin tinggi dan menjaga kebersihan dalam kalangan jemaah haji Malaysia mencuri perhatian apabila khemah penginapan di Mina ditinggalkan dalam keadaan kemas sebaik selesai urusan Masyair.

Keadaan itu bukan sahaja mencerminkan tahap kesedaran tinggi jemaah terhadap kebersihan, malah menggambarkan mentaliti kelas dunia yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia di tanah suci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, beliau berbangga melihat budaya positif yang dipamerkan jemaah haji negara sepanjang musim haji tahun ini.

Menurut beliau, sikap bertanggungjawab dan disiplin tinggi ditunjukkan jemaah Malaysia di Mina membuktikan imej rakyat negara ini sentiasa dipandang tinggi di peringkat antarabangsa.

“Kita sangat berbangga menjadi rakyat Malaysia. Jemaah haji Malaysia sememangnya mendunia.

“Saya kongsikan keadaan di Mina sebaik sahaja selesai urusan di Masyair. Khemah penginapan ditinggalkan dalam keadaan kemas dan bersih,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Beliau berkata, budaya menjaga kebersihan dan kemudahan awam seperti itu wajar terus dipertahankan kerana ia menjadi cerminan akhlak serta nilai murni rakyat Malaysia.

Tambah beliau, sikap berkenaan turut memperlihatkan hasil pendidikan serta bimbingan berterusan yang dilaksanakan Lembaga Tabung Haji (TH) terhadap jemaah haji negara setiap tahun.

Katanya, kejayaan menampilkan imej positif di tanah suci bukan sahaja membanggakan negara, malah mampu menjadi contoh kepada jemaah dari negara lain.

“Budaya ini adalah kebanggaan kita semua dan pasti menjadi rujukan dunia.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh jemaah haji Malaysia dan semua petugas yang bertungkus-lumus memastikan operasi haji berjalan lancar,” katanya.

Malaysia sebelum ini terus mendapat pengiktirafan antarabangsa dalam pengurusan haji termasuk mempertahankan Anugerah Labaittom bagi kategori tertinggi daripada kerajaan Arab Saudi buat kali kelima berturut-turut. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN